Sunday, June 10, 2007

Menguak Terus Pintu Ijtihad

Di akhir sebuah ceramah, seorang perserta bangun mengajukan soalan. Ceramah itu bertemakan cabaran dalam alam perkahwinan dan penceramahnya telah menyampaikannya dengan menarik, penuh dengan jenaka.

Namun, hadirin agak tersentak dengan cara peserta ini mengajukan soalannya. Beliau mahu supaya dalam jawapannya nanti, penceramah itu harus mengemukakan semua nas agama (maksud beliau tukilan ayat-ayat Al-Quran Hadith Nabi) sebagai dalil atau bukti. Mujurlah penceramahnya, Professor Quraish Shibab, yang memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang kajian Al-Quran dan penulis banyak buku Islam, telah secara tenang menganggapi soalan bersyarat itu.

Kata beliau, bukan semua persoalan dan hokum yang terdapat dalam kehidupan umat mesti ada nas atau keterangan yang khas dalam al-Quran ataupun Hadith. Contohnya, walaupun dadah (narkoba di Indonesia) dihukumkan haram, perkataan dadah itu sendiri tidak terdapat dalam Al-Quran. Nas atau teks agama ada menyebut pengharaman ke atas ‘khamar’ (diterjemahkan umum sebagai arak) kerana baynak keburukan yang diakibatkannya kepada kesihatan dan kehidupan mausia.

Jadi, para alim perundangan menggunakan alas an bahawa dadah sama merosakkan seperti khamar, lalau diharamkan. Selanjutnya, Profesor Quraish menjelaskan, sejajar dengan sifat agama Islam yang sesuai menjadi panduan hidup manusia di semua masa dan tempat, Islam menyediakan beberapa prinsip yang dapat dimanfaatkan mensyarakat apabila berdepan dengan beberapa unsur baru yang mereka alami sepanjang perjalanan masa. Pentafsiran daripada prinsip-prinsip itulah yang dimanfaatkan para alim dan sarjana dalam penetapan hukum dari masa ke masa, termasuk penetapan hukum haram ke atas dadah dan bahan-bahan lain yang sepertinya. Saya sendiri pernah terperangkap dalam perdebatan di antara dua orang rakan mengenai perkara yang hampir serupa. Ia bermula apabila seorang daripada mereka menegaskan bahawa orang islam tidak perku memakai atau merujuk kepada sebarang sumber hukum baru dan asing kerana segala urusan yang menyangkut kehidupan manusia sudahpun ada jawapannya dalam Al-Quran. Beliau mengkritik sikap sesetengah pihak dalam mesyarakat yang dianggapnya terlalu merujuk kepada sumber-sumber selain Al-Quran dan Sunah Nabi ketika membahaskan sesuatu persoalan berhubung dengan kehidupan mutakhir. Sama ada dengan tujuan untuk membidas, ataupun sekadar untuk berjenaka, seorang rakan lain secara selamba mencelah: “Adakah kaedah membuat roti canai terdapat dalam Al-Quran?” Dua situasi itu menunjukkan contoh kekeliruan yang masih wujud di kalangan mensyarakat dalam memahami rahsia dan maksud ajaran agama Islam, terutama dalam memanfaatkannya apabila berhadapan dengan kehidupan masa kini.

Di majilis ceramah tadi, terdapat contoh bagaimana sesetengah kita yang mahu menerima sesuatu hanya kalau terdapat nas agama iaitu daripada sumbernya yang asal, Al-Quran ataupun Hadith Nabi. Perdebatan dalam contoh kedua menunjukkan sikap keras enggan meneriima sebarang unsur luar dalam menghuraikan persoalan semasa kerana menganggap segalanya telah sempurna terhurai dalam nas agama (Al-Quran). Memanglah tidak tepat jika kita terlalu kuat merujuk kepada sumber asing sehingga membelakangkan langsung sumber agama, misalnya pembahasan mengenai isu ‘pembangunan’ dan ‘pemodenan’ yang sering berkiblatkan teori-teori Barat. Namun, ketegaran menolak semua unsur yang bukan daripada sumber atau nas agama juga merupakan sikap salah dan merosakkan. Bukan semua sumber luar itu semestinya bercanggah dengan prinsip yang digariskan agama. Ketika bercakap kepada para pensyarah dan pelajar di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya kira-kira 10 tahun lalu, Profesor Yusuf Al-Qaradawi telah menyentuh satu lagi kekeliruan sesetengah umat Islam dalam memaham maksud dan tujuan nas agama. Beliau mengambil contoh kekeliruan yang bermula sebagai ‘fahaman zahir’ atau ‘Ahli Zahir’ yang sering dikaitkan dengan Abu Muhammad ibnu Hizam (Ibnu Hizam), yang diakui sendiri oleh Profesor Al-Qadarawi sebagai alim besar.

Golongan Ahli Zahir itu mentakrifkan nas agama secara ketat dengan maksud zahirnya sahaja tanpa melihat aspek maksud atau tujuaannya yang lebih besar. Sebagai contoh, pentafsiran yang dibuat ke atas Hadith Nabi saw yang berbunyi “Persetujuan perempuan yang masih bujang untuk berkahwin ialah dengan diamnya.” Ahli Zahir mentafsirkannya bahawa keizinan perempuan bujang mesti diperolehi sebelum dia dikahwinkan. Persetujuan cukup dengan diamnya perempuan itu. Bagaimana kalau perempuan itu sendiri yang memperkenalkan seorang lelaki kepada bapanya dan menjelaskan ciri-ciri kebaikan lelaki tersebut? Ibnu Hazm (fahaman Ahli Zahir) menghukumkan keizinan terus terang perempuan itu tidak sah kerana Hadith Nabi menyatakan keizinan perempuan bujang adalah dengan diamnya. Profesor Al-Qadarawi mengkritik pentafsiran demikian sebagai tidak menepati kehendak sebenar nas (Hadith) tersebut, iaitu mendapat keizinan. Beliau juga berkongsi satu lagi masalah yang ditimbulkan golongan ‘Ahli Zahi Baru’ yang memfatwakan tidak sah membayar zakat fitrah dengan wang. Alasannya, sunah Nabi mewajibkannya dengan mengeluarkan makanan. Ini juga, menurut Profesor Al-Qadarawi, berpunca daripada kekeliruan memahami tujuan asal perintah Nabi yang sebenarnya bertujuan memudahkan masyarakat Islam ketika itu berzakat, disebabkan wang belum menjadi medium urus niaga yang popular di kalangan orang Arab. Dengan perubahan masa dan keadaan, berzakat fitrah dengan menggunakan kaedah lain (terutama wang), selain daripada makanan, harus menjadi keutamaan sekiranya ia mendatangkan labih faedah kepada penerima zakat fitrah.

Sebagai contoh, beliau membayangkan betapa rumitnya urusan zakat fitrah di bandar Kahirah dengan penduduk berjumlah 12 juta orang yang setiap orang mengeluarkan zakat fitrah daripada bahan makanan, misalnya gandumn. Masalah akan timbul untuk mengagihkan kepada fakir miskin di kalangan 12 juta penghuni bandar itu. Bukan itu sahaja, si fakir juga akan sukar menerimanya kerana jarang sekali golongan fakir di sana yang memiliki dapur ataupun alat pembuat roti. Jika tidak cukup bilangan fakir miskin untuk menerima zakat fitrah daripada bahan-bahan makanan lalu kutipan itu perlu dihantar ke tempat lain, seperti di Afghanistan atau Afrika, masalah akan timbul mengenai kos penghantaran yang tinggi. Siapa pula yang akan menanggungnya?

Profesor Al-Qadarawi menasihatkan masyarakat Islam masa kini supaya memajukan fiwah sendiri (sesuai dengan keperluan semasa). Ini dilakukan dengan melihat kepada maqasid atau tujuan, dan zawahir atau kehendak zahir sesuatu nas. Kemudian, timbangkannya dengan melihat antara dua iaitu yang mana satukah lebih membawa kepada mencapainya tujuan sebenarnya kehendak syarak. Profesor Al-Qadarawi akhirnya merumuskan: “Sekiranya kita ingin melihat fiqah Islam maju, kita perlu memahami tujuan syarak di dalam menentukan hukumnya terhadap sesuatu lebih-lebih lagi pada zaman sekarang dengan perubahannya sungguh cepat sekali yang memerlukan kepada jawapan dan penyelesaian segera menurut pandangan Islam.”

Para alim menjelaskan tujuan (maqasid) syarak atau syariat Islam adalah melindungi maslahat ataupun kepentingan nyawa, harta-benda, agama, akal dan keturunan manusia. Menjaga tujuan syariat bermakna memastikan hukum-hukum yang berlaku dalam kehidupan mestilah memenuhi keperluan melindungi lima unsur tersebut. Gagasan ini berguna dalam menghuraikan masalah yang ditimbulkan daripada penetapan hukum oleh Ahli Zahir serta menjelaskan kekeliruan lain dalam memaham maksud dan tujuan nas agama. Dengan berpegang kepada maksud syarak atau syariat Islam juga, masyarakat Islam akan terus membuka pintu berijtihad dari masa ke masa. Bagaimanapun, harus diinsafi bahawa maqasid syariat itu juga adalah panduan agar tiada di kalangan Muslim yang sengaja melakukan sesuatu secara berlebihan dengan tujuan yang lebih untuk memenuhi ego atau muslihat sendiri.

~Re-Type : Suhana Rasid