Saturday, May 17, 2008

Ikatan Terpenting yang Sering Diabaikan

Oleh Mohd Yusop Hassim


Syariat solat yang dibawa oleh Rasulullah saw pada malam israk dan mikraj ketika baginda diundang menghadap Allah swt merupakan salah satu daripada rukun Islam yang wajib dipercayai dan diyakini setiap Muslim. Setelah mengaku beragama Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah, barulah diwajibkan kita berpuasa, menunaikan zakat, dan haji bagi yang berkemampuan.


Sebagai rukun, sudah pasti kedudukannya tinggi sekali di sisi Allah swt. Rukun tidak boleh ditinggal atau dipermainkan . Islam seseorang akan menjadi rosak dan dianggap telah melakukan satu dosa besar yang balasan neraka jahanam. Kedudukan solat, jelas terbukti jika diperhatikan cara ia disampaikan fardhunya kepada Nabi Muhammad saw. Baginda juga menerima perintah menunaikan ibadah puasa, zakat, dan haji melalui wahyu yang dibawa oleh Jibrail as. Solat sebagai tiang agama diwajibkan atas setiap umat Islam. Tiada pengecualian selain bagi kaum wanita dalam masa-masa tertentu berdasarkan Al-Quran dan Hadith. Kita diperintahkan mengejarkan solat dalam apa keadaan sekalipun dan di mana saja kita berada selagi nyawa dikandung badan. Contoh orang sakit, caranya solatnya diberi kemudahan.


Dalam rukun Islam pertama, kita mengikrarkan “Tiada Tuhan selain Allah, dan Muhammad itu pesuruh Allah” Apakah bukti pengakuan ini? Apakah cukup dengan pengakuan di hati dan dalam fikiran sahaja? Bukti ini tidak mencukupi, maka kita diwajibkan solat. Ibadah solat bukan dibuktinya dengan hati dan fikiran saja, malah anggota tubuh kita terbabit sama. Ia adalah satu cara pengakuan yang paling praktikal yang dilakukan kepada Allah swt. Meletakkan dahi di tempat sujud menunjukkan pengiktirafan kita bahawa tiada yang lebih agung dan berkuasa dalam hidup kita selain daripada Allah swt.


Solat juga melambangkan perbuatan pengabdian diri dan kesyukuran kita kepada Allah di atas kurniaan nikmat dan rahmatNya untuk kita terus hidup di dunia yang fana ini. Begitu juga ketika kita menerima sesuatu pemberian daripada seseorang. Kita mengucapkan terima kasih kepadanya. Lihat saja para angkasawan yang hendak ke bulan. Mereka memerlukan banyak persiapan awal untuk kesempurnaan perjalannya. Allah mengurniakan udara secara percuma sahaja kepada kita. Apakah kita tidak mahu bersyukur kepadaNya?


Adalah satu perkara mudah bagi Allah untuk menambah atau menarik balik nikmat yang telah dikurniakan ke atas hamba-hambaNya yang bersyukur dan kufur. Allah berfirman yang maksudnya:


“Jika kamu bersyukur di atas nikmatKu kepada kamu, nescaya Aku akan tambahkan lagi nikmat-nimat itu. Tetapi jika kamu kufur akan nikmat-nikmat itu, maka sesungguhnya azabKu amat pedih.” (Suroh Ibrahim : 7)


Solat yang dilakukan dengan penuh khusyuk dan ikhlas dapat member ketenangan jiwa kepada seseorang. Tubuh kita terdiri daripada rohani dan jasmani, dan memerlukan pengawasan kesinambungan supaya dapat terus hidup dan berkembang. Solat membuktikan bahawa kita memiliki sifat keimanan kepada Allah swt. KepadaNya sahaja tempat kita bergantung dan berlindung. Ia merupakan penghubungan secara langsung antara hamba dengan Tuhan.


Berdoa dengan memenuhi syarat-syaratnya serta dilakukan penuh ikhlas akan didengar dan dimakbulkan dengan izinNya. Pahala solat berjemaah pula diberi ganjaran sebanyak 27 kali ganda jika dibandingkan solat secara individu. Solat yang sempurna akan mendapat nur dan berada dalam keadaan cerah di akhirat kelak.