Tuesday, September 19, 2006

IBNU REJAB DAN NISHFU SYA'BAN

Assalaamu'alaikum

Baru-baru ini di dalam Berita Harian membuat ulasan tentang amalan
Nisfu Sya'ban.

Pertikaian timbul ketika amalan di atas dikaitkan dengan majlis khas
iaitu majlis Nisfu Syaaban. Maka ada yang mengatakan ia bidaah dan
ada pula yang mengatakan ia sunat dan masing-masing mempunyai hujah
sendiri dianggap sah dari sudut pandang ilmu ijtihad.

Dalam kitab Lata'if al-Ma'arif fi ma Limawasim al-'Am min al-Wazaif
karangan Ibn Rajab al-Hambali (w 795H) dibincangkan dengan jelas
masalah di atas pada muka surat 259-269 yang intinya ulama Hijaz
membidaahkan amalan menghidupkan malam Nisfu Syaaban manakala ulama
Syam khasnya para Tabi'in mengagungkan malam Nisfu Syaaban.

Ulama Nusantara mengikuti jejak ulama Syam, utara Semenanjung Arab
sekarang dengan tidak menyalahkan ulama Hijaz, Saudi sekarang.

Bagi ulama Syam cara menghidupkan malam Nisfu Syaaban adalah dengan
memperbanyakkan ibadah dan doa, bagi ulama Nusantara cara
menghidupkan malam Nisfu Syaaban seperti disebutkan pada permulaan
jawapan ini.

Di antara fadilat malam Nisfu Syaaban adalah pengampunan Allah ke
atas umat manusia kecuali orang musyrik, orang yang bermusuhan,
pembunuh diri, dan pelaku zina.

Komen akob:

Al-Hafidz Ibnu Rajab rahimahullah sebenarnya telah berkata berkata
(di dalam al-Lathaif al-Ma'aarif, Mathba'ah Daru Ihya al-Kutub
Arabiyah, Kaherah, 1342H, ms. 144):

Para tabi'in dari penduduk negeri syam seperti Khalid bin Ma'dan,
Makhul, Luqman bin Amir dan sebagainya mengagungkan malam Nisfu
Sya'ban dan mereka bersungguh-sungguh dalam beribadah di dalamnya.
Daripada merekalah akhirnya orang-orang mengambil kemuliaan
pengangungannya. Ada yang mengatakan bahawa telah sampai kepada
mereka dalam masalah ini (iaitu pengagungan malam Nisfu Sya'ban)
hadis-hadis israiliyat, ketika hal ini terbongkar di negeri itu,
menusia berselisih pendapat dalam hal ini, di antara mereka ada yang
menerimanya dan sepakat untuk mengagungkannya, mereka ini adalah
kelompok dari negeri Basrah dan lain-lain, sedangkan kebanyakkan
ulamak Hijaz, seperti Atha' dan Ibnu Abi Malikah menolak
pengagungannya. Dinukil daripada Abdurrahman bin Zaid bin Aslam dari
fuqaha penduduk Madinah, iaitu pendapat sahabat Imam Malik dan lain-
lain bahawa semua itu adalah bid'ah.

Para ulamak Syam berselisih pendapat tentang cara meramaikannya,
paling tidak terbahagi menjadi dua pendapat:-

1) Disunnahkan untuk meramaikannya dengan cara berjemaah di
masjid. Khalid bin Ma'dan dan Luqman bin Amir dan sebagainya memakai
pakaian terbaik mereka, berbangga, bermegah-megah, untuk tinggal di
masjid pada malam itu. Cara semacam ini disepakati oleh Ishak bin
Rahawih dan dia berkata mengenai perayaan itu di dalam masjid, "Hal
ini bukan bid'ah di nukil oleh Harb al-Kirmani daripadanya dalam
Masail-nya.

2) Berkumpul pada malam itu di dalam masjid untuk solat,
membaca cerita dan doa hukumnya makruh, tetapi tidak makruh bila
seseorang mengerjakan sendirian. Ini adalah pendapat Auza'i, imam
penduduk Syam, faqih, orang alim mereka. Inilah pendapat yang
mendekati kebenran insya-Allah. – Dinukil dari kitab Syaikh Abdullah
bin Abdul Aziz al-Tuwaijiry bertajuk al-Bida' al-Hauliyyah, (edisi
terjemahan bertajuk: Ritual Bid'ah Dalam Setahun, Darul Falah,
Jakarta 2003), ms. 314-315.

Sekian kata-kata Ibnu Rajab rahimahullah. Apa yang dapat kita fahami
daripada kata-katanya tersebut ini.

1) Amalan pengangungan Nisfu Sya'ban ini hanyalan amalan
tabi'in di Syam. Bukannya berasal daripada Rasulullah
shallahu 'alaihi wasallam mahupun para sahabat radhiallahu 'anhum

2) Menurut Ibnu Rejab mereka berdalilkan hadis-hadis
Israiliyat. Bolehkan hadis israiliyat di jadikan hujah untuk
mengsunatkan sesuatu amalan? Itu pokok persoalannya. Tambahan pula
ulamak-ulamak hadis telah mengumpulkan hadis-hadis yang membicarakan
tentang keutamaan malam Nisfu Sya'ban yang kemudiannya setelah
ditahqiq (dilakukan penilaian di atas darjat hadis tersebut) lalu
mereka merumuskan bahawa tidak ada satupun riwayat yang sahih
kecuali sebuah riwayat daripada daripada Mu'adz bin Jabal
radhiallahu 'anh daripada Nabi shallahu 'alaihi wasallam, baginda
bersabda: Allah memerhatikan kepada makhluknya pada malam Nishfu
Sya'ban lalu Dia memberi keampunan kepada semua makhluknya kecuali
orang musyrik dan mereka yang suka berbalah. – Hadis riwayat Ibnu
Abu `Ashim dalam kitab al-Sunnah, Ibnu Hibban di dalam Shahihnya,
dan al-Hafidz al-Haithami di dalam Majmu' al-Zawaid. Hadis tersebut
tidak menunjukkan apa-apa amalan yang tertentu sempena Nisfu
Sya'ban. Sekiranya ingin diampunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala
pada malam tersebut maka hendaklah kita menjauhi perbuatan syirik
dan jangan suka berbalah.

3) Amalan tersebut tersebut ditolak oleh jumhur ulamak hijaz
seperti di Madinah. Sebagaimana yang telah kita sedia maklum
majoriti para sahabat radhiallahu 'anhum menetap di hijaz namun
begitu tidak terdapat satu riwayatpun yang menunjukkan para tabi'in
di hijaz mengamalkan amalan seperti di Syam.

4) Tidak ada di dalam kaedah mana-mana mazhab bahawa amalan
penduduk syam boleh dijadikan hujah. Apatah lagi amalan tersebut
maqtu' (terhenti) kepada segeintir kecil tabi'in di Syam. Tambahan
pula di dalam Mazhab Syafi'i amalan yang mauquf pada sahabat
bukanlah hujah, inikan pula amalan yang hanya maqtu' pada tabi'in.
Oleh itu kaedah dari mazhab mana yang dipakai untuk mengsunatkan
amalan tertentu pada malam Nisfu Sy'aban?

5) Ibnu Rejab sendiri telah menguatkan pendapat bahawa
meramaikan masjid dengan upacara-upacara ibadah sempena malam Nisfu
Sy'aban merupakan makruh. Inilah juga pendapat Imam bagi penduduk
Syam iaitu Auza'i rahimahullah.

6) Pembolehan Ibnu Rejab dan Au'za'i untuk menghidupkan malam
Nisfu Sya'ban dengan ibadah secara sendirian juga bukanlah hujjah
melainkan diperturunkan dalil akan hal itu akan tetapi hadis
tersebut sememangnya tidak wujud. Namun demikian meneruskan amalan-
amalan sunnah yang sememangnya biasa dilakukan sepeti tahajjud, baca
al-Qur'an, berdoa, berzikir pada setiap hari adalah dibenarkan
asalkan bukan berniat dikhususkan sempena Nisfu Sya'ban.

7) Ibnu Rajab tidak menceritakan tentang amalan mengkhususkan
bacaan Yassin yang diselang-selikan dgn doa-doa khusus sebagaimana
yang biasa di amalkan oleh Umat Islam di Malaysia.

8) Ibnu Rejab juga tidak menceritakan tentang puasa nisfu
sya'ban sebagaimana yang biasa diamalkan di Malaysia.

9) Di dalam kitab yang sama Ibnu Rajab juga berkata bahawa
solat malam Nisfu Sya'ban tidak ada dalilnya baik daripada Nabi
shallahu 'alaihi wasallam mahupun para sahabat tetapi hanya tradisi
peninggalan sebahagian tabi'in dari fuqaha' penduduk Syam.

KESIMPULAN

Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi:

Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi shallahu 'alaihi wasallam
dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk
menghidupkan malam Nishfu Sya'ban, membaca doa tertentu dan
mendirikan solat tertentu seperti yang kita lihat di sebahagian
negeri umat Islam.

Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam itu
selepas Maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yassin dan
mendirikan solat 2 rakaat dengan niat panjang umur, 2 rakaat yang
lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia. Kemudian
mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik daripada golongan salaf
(iaitu para sahabat, tabi'in dan tabi'ut tabi'in).

Ia satu doa yang panjang, menyanggahi nas (al-Qur'an dan al-Sunnah)
juga bercanggahan dan bertentangan makna… Perhimpunan (malam Nishfu
Sya'ban) seperti yang kita lihat dan dengar berlaku di sebahagian
negeri orang Islam adalah bid'ah dan direka-reka. Sepatutnya kita
melakukan ibadah sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan
ialah dengan mengikuti perbuatan salaf, segala keburukan itu adalah
bid'ah (rekaan) golongan selepas mereka (khalaf). Setiap yang diada-
adakan itu bid'ah dan setiap bid'ah itu membawa kepada kesesatan
serta setiap yang sesat itu menuju ke neraka. – Dr. Yusuf al-
Qaradawi, Fatwa Mu'asarah, jilid 1, ms. 382-383. Di nukil dari buku
Membela Islam Tanggungjawab & Disiplin karya Dr. Mohd. Asri Zainul
Abidin, Karya Bestari, Shah Alam, 2006, ms. 95.

Syaikh Muhammad Abdussalam rahimahullah pula berkata:

Solat 6 rakaat, pada malam Nishfu Sya'ban dengan niat untuk menolak
bala, panjang umur dan untuk kekayaan, dan juga membaca surah Yasin
beserta doanya merupakan hal yang baru dalam agama (bid'ah) dan
bertentangan dengan sunnah Rasul. – Syaikh Muhammad Abdussalam Khadr
al-Syaqiry, As-Sunan wa al-Mubtada'at (edisi terjemahan bertajuk
Bid'ah-Bid'ah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta 2004) ms.
155.

Imam al-Nawawi rahimahullah di dalam Majmu' Syarah Muhazzab pula
berpendapat:

Solat yang dikenal dengan solat al-Raghaib iaitu 12 rakaat yang
dilakukan di antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama dari
bulan Rejab dan solat Nishfu Sya'ban sebanyak 100 rakaat; kedua-dua
solat tersebut adalah bid'ah yang mungkar. Janganlah hendaknya orang
terperdaya kerana kedua-duanya disebutkan dalam kitab Qutub al-Qulub
dan Ihya' Ulumiddin, dan jangan terperdaya dengan hadis yang
disebutkan dalam kedua kitab itu kerana semuanya adalah batil
belaka. – Dinukil dari buku Amalan Bid'ah Pada Bulan Muharram,
Rejab, Sya'ban & Ramadhan karya Dr. Abdul Ghani Azmi bin Hj. Idris,
Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur 1995, ms. 106.

Setelah menyebut sejumlah ayat dan hadis serta pendapat para ulamak
tentang malam Nishfu Sya'ban, Syaikh Abdul Aziz Abdullah bin Bazz
rahimahullah berkata:

Berdasarkan ayat-ayat, hadis-hadis dan pendapat para ahli ilmu di
atas jelaslah bagi orang yang mencari kebenaran bahawa memperingati
malam Nishfu Sya'ban dengan solat dan sebagainya serta
mengkhususukan siangnya untuk berpuasa adalah bid'ah mungkar menurut
kebanyakkan ahli ilmu dan tidak ada dasarnya dalam syari'at yang
murni, tetapi peringatan malam Nishfu Sya'ban ini terjadi dalam
Islam setelah masa sahabat. Cukuplah bagi para pencari kebenaran
mengenai masalah ini dan masalah lain melihat firman Allah:

Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku
telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam
itu menjadi agama untuk kamu. – al-Maaidah (5) : 3

Kemudian dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang semakna dengan ayat
di atas:

Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami
(iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. -
Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 1718.

Juga dari hadis-hadis lain yang semakna dengannya yang diriwayatkan
dalam Shahih Muslim:

Jangan mengkhususkan malam Jumaat untuk Solat Malam (Qiyam al-Lail)
di antara lain-lain malam, dan jangan mengkhususkan hari Jumaat
dengan puasa di antara lain-lain hari, kecuali puasa wajib. - Hadis
riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 1144.

Seandainya mengkhususkan malam-malam tertentu dengan ibadah itu
boleh tentu malam Jumaat lebih utama untuk dikhususkan dari malam-
malam selainnya, kerana malam Jumaat adalah hari terbaik yang
dijelaskan dalam hadis sahih daripada Rasulullah.

Rasulullah shallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Sebaik-baik hari yang terbit di dalamnya matahari adalah hari
Jumaat – Hadis riwayat Imam Ahmad.

Ketika Nabi shallahu 'alaihi wasallam melarang untuk
mengkhususkannya di antara malam-malam lainnya, hal ini menunjukkan
bahawa malam-malam lainnya walaupun dianggap mulia, juga tidak boleh
dikhususkan untuk beribadah kecuali ada dalil sahih yang menunjukkan
pengkhususannya. –Dinukil dari kitab Syaikh Abdullah bin Abdul Aziz
al-Tuwaijiry bertajuk al-Bida' al-Hauliyyah, (edisi terjemahan
bertajuk: Ritual Bid'ah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta 2003)
ms. 319-320.

Oleh itu tidak ada amal ibadah yang perlu dikhususkan sempena Nishfu
Sya'ban kerana tidak ada hadis yang sahih dari Nabi shallahu 'alaihi
wasallam menganjurkannya. Hadis-hadis yang dijadikan dalil oleh
mereka yang menyatakan terdapat amalan-amalan tertentu berkaitan
Nishfu Sya'ban kesemuanya lemah dan palsu sehingga tidak boleh
dijadikan hujah. Tentang penggunaan hadis-hadis yang tidak sabit
daripada Rasulullah shallahu 'alaihi wasallam Imam al-Thahawi
rahimahullah di dalam kitabnya Musykilul Athar (jilid 1, ms. 176)
telah berpesan:

Barangsiapa yang menceritakan (hadis) daripada rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam atas dasar zhan / persangkaan, bererti
dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda shallallahu 'alaihi
wasallam dengan tanpa haq (dengan tidak benar). Dan orang yang
menceritakan (hadis) daripada baginda shallallahu 'alaihi wasallam
dengan tanpa haq, bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada
baginda shallallahu 'alaihi wasallam dengan cara yang batil. Dan
orang yang telah menceritakan (hadis) daripada baginda
shallallahu 'alaihi wasallam dengan cara yang batil, nescaya dia
menjadi salah seorang pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam:
Barangsiapa yang sengaja berdusta atas namaku, maka hendaklah dia
mengambil tempat tinggalnya di neraka. (Hadis riwayat Imam al-
Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 107)
- Dinukil daripada kitab al-Masaa-il tulisan Ustaz Abdul Hakim bin
Amir Abdat, jilid 1, ms. 41)

Wallahu'alam

No comments: