Pandangan dari Maarof Salleh
Bagaimanakah kita menilai apakah seseorang yang dianggap alim (jama'nya ulama) itu bercakapa benar atau merujuk sumber ilmiah yang betul? Bagaimanakah pula kita harus memberikan reaksi kepadanya?
Contohnya, Osama Bin Laden, yang bagi para pemujanya ialah seorang alim dan berwenang. Dia mengeluarkan fatwa yang menghalalkan serangan ganas ke atas Amerika Syarikat dan sekutunya sebagai jihad yang dibenarkan agama. Padahal, para ulama menghukumkan fatwanya menyesatkan. Ancaman alim palsu atau ulama su' (daripada istilah Imam Ghazali dalam bukunya Bidayatul Hidayah) sudah berlaku sejak lama. Mereka tidak bercakap yang benar atau mengguna pakai sumber yang berupa pemalsuan agama. Malah, tanggapan mereka yang demikian itu sampai ke dalam rancangan televisyen atau sidang rasmi yang membahaskan kepentingan umum.
Sebuah akhbar arus utama Malaysia pada Ahad lalu menyiarkan pandangan dua ulama yang kian menarik sorotan - Dr Moh Asri Zainal Abidin, Mufti Kerajaan Negeri Perlis, dan Dr Syed Ali Tawfik Al-Attas, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim). Dr Mohd Asri lulusan agama, manakala Dr Syed Ali pula lulusan konvensional. Solah mendedahkan alim, ulama atau golongan mana yang betul kini hangat di sebarang Tambak. Mufti Perlis mempersoalkan sikap sesetengah penceramah agama yang juga ahli panel siaran agama televisyen yang disifatkannya "belum mencapai piawaian ilmu". Katanya, mereka tidak ilmiah dan menyampaikan fakta palsu atay tidak munasabah. Namun, pandangan Dr Moh Asri, yang berusia 35 tahun dan lulusan bidang bahasa (balaghah), mendapat tetangan ramai ulama Malaysia. Mentelah beliau dikatakan mencemuh golongan Hadrami (dari Hadramaut Yaman) dan amalan sufi. Dr Tawfik pula lebih menjurus kritikannya terhadap budaya Melayu dan Islam. Misalnya, beliau mengupas isu identiti Melayu dalam beberapa sidang perwakilan Umno, pertubuhan politik terbesar yang mengwakili orang Melayu, yang umumnya beragama Islam. Menurut beliau, dalam definisi Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta berdasarkan amalan turun menurun di negara itu, agama Islam merupakan ciri utamanya.
Hujahnya, apa jua formula merumuskan identiti Melayu harus menyertakan nilai atau unsur penting daripada ajaran Islam seperti nilai keluhhuran akhlak dan keadilan sosial. Lantaran itu, penyertaan sktif kalangan elit agama, termasuk ulama, mesti ada dan menonjol.
Menurut Dr Tawfik, golongan elit agama, termasuk ulama, memang ada. Malangnya, suara-suara aktif mereka menyumbang dalam perbincangan mengenai identiti Melayu tidak kedengaran atau kendengaran pun tidak menyerlah.
Akibatnya, kata beliau lagi, gagasan Melayu Umno kekaburan dengan nilai-nilai murni Ilsam. Kesannya, berlaku banyak kekeliruan apabila diterapkan dalam amalan pemerintahan atau dalam kehidupan sosial. Mungkin Dr Tawfik cuba menunjukkan banyaknya amalan buruk dan tidak beretika berlaku dalam kerajaan yang Umno menjadi rakan kongsi paling utama, misalnya masalah rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.
Bahaya penyakit sosial pula dikatakan kian menular dalam kehidupan masyarakat. Orang ramai kian tertekan dengan budaya lepak dan gejala mat rempit dalam kalangan anak muda serta kes kebejatan moral dan salah guna dadah dan sebagainya.
Namun, masalah ini bukanlah sekadai di Malaysia saja. Umat Islam di mana jua sering menanggungnya selagi itu integrasi ilmiah atau keilmuan tidak dihormati. Yang jelas, risiko cukup besar ditanggung orang awam atau rakyat apabila golongan yang memakai gelar ulama atau elit agama tidak cukup arif, apatah lagi bercakap yang benar.
Sayangnya, yang betul-betul alim pula membisu saja walaupun kekeliruan berlaku. Mengapakah terdapat ulama dan elit agama berpendirian demikian?
Para imam besar, seperti Imam Ghazali, sudah lama membincangkannya. Hakikatnya, ulama juga insan biasa yang mengalami beberapa kekurangan seperi kesibukan mengisi jadual. Mereka juga tidak dapat menguasai pelbagai ilmu dan terbatas bidang mereka saja. Malangnya, tuntutan umat kini amat besar atas ulama agar memberikan jawapan segera seperti rancangan ceramah di radio atau televisyen. Gambaran media pula semacam mendorong seseorang alim dinila bak selebriti.
Akibatnya, etika seseorang alim di segi keilmuan kurang menjadi pertimbangan penting baik bagi pihak penganjur rancangan. Di segi lain, mungkin ramai ulama yang enggan menonjolkan diri kerana tidak mahu dianggap bercanggah dengan keputusan pihak yang sedang memegang kuasa - khuatir risiko yang tidak berbaloi. Sejarah Islam menunjukkan memang ada ulama yang terpaksa meringkuk di penjara demi menegakkan keadilan. Sehingga kini pun, cara Machievelli , iaitu prinsip 'tujuan menghalalkan cara' masih berlaku di sesetengah negara majoriti Islam. Akibatnya, elit agama, termasuk ulama, terpaksa berhati-hati untuk mempengaruhi midan pihak atasan. Hanya setelah keyakinan itu diperolehim barulah boleh diusahakan langkah-langkah menerapkan nilai-nilai tulen agama. Mungkin juga, seperti yang dihimbau Dr Tawfik bahawa terdapat "ulama bikinan" daripada kalangan mereka yang sengaja diangkat untuk memberikan pengesahan agama kepada beberapa dasar pihak yang sedang memegang kuasa.
Ketika berlaku pemberontakan tentera Turkey Mamluk di Baghdadm tentera Turkey dikatakan mempunyai fikiran sempit. Mereka memerlukan dukungan rakyat bagi menjayakan matlamat mereka untuk menguasai kerajaan, Ketika itu pulam golongan pemikir rasional atau muktazilah sedang berpengaruh kuat. Kerajaan baruitu memecat tokoh-tokoh nahzab muktazilah daripada memegang jawatan-jawatan rasmi yang berpengaruh dalam bidang fikiran dan politik. Banyak ulama aliran muktazilah dipenjarakan dan dibuang negeri. Sebagai gantinya, mereka memanggil semula aliran pemikiran nas (yang berpandukan teks agama seperti Al-Qurn dan Hadis tanpa menerima penggunaan akal dan rasional dalam memaham agama).
Dalam zaman pemerintahan Khalifah al-Qadir Billah (991-1031 M), berlaku kemuncak usaha membanteras kecenderungan ilmiah dan pemakaian pemikiran rasional sebagai pendekatan uama memahami agama.
Khalifah itu membuat perisytiharan yang antara lain melarang pengajian dan perdebatan tentang ilmu kalam, khususnya dalam faham rasional, melaknat golongan muktazilah di atas mimbar masjid sehingga orang ramai menjadi keliru bahawa berfikiran rasional dilarang Islam.
Mungkin ada aspek-aspek keterlaluan dalam soal amalan rasional pada gerakan muktazilah. Namun, ini tidak bermakna berfikiran rasional tidak boleh sama sekali. Hakikatnya, Islam menggalakkan kemerdekaan fikir demi meneroka ilmu agar tercapai kebenaran dalam apa jua hal.
Dalam Al-Quran, banyak sekali seruan agar kita berfikir, merenung, membandingkan, meneroka dan melihat kejadian alam dan sejarah manusia.
Tegasnya, Islam memberikan penghormatan yang tinggi kepada ilmu dan daya fikir sehingga wahyu pertama menyuruh insan agar 'membaca'. Keadaan ummah akan menjadi lebih buruk andai ulama dan elit agama hanya memilih untuk membisu, apatah lagi keberatan mendorong orang Islam agar berfikiran rasional dan mengkaji ke akar masalah dengan pelbagai pendekatan ilmu.
Hanya dengan ilmu dan petunjuk alim yang bertanggungjawab, kepalsuan dapat ditanggalkan.
-Retype: Suhana Rasid-
No comments:
Post a Comment