oleh:Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Aqidah islam adalah yg bersih & mudah difahami. Bacalah al-Quran & al-Sunnah, lihatlah perbincangan akidah dalam kedua-dua sumber agung itu, sangat jelas dan tidak berbelit. Dalam hanya beberapa ayat seperti isi al-Ikhlasnya, tidak perlu menyukarkan. Dalam ajaran Islam, persoalan tauhid dan akidah adalah perkara paling mudah dan senang untuk difahami. Ini kerana memahami akidah adalah satu kemestian termasuk yang buta huruf, badawi di padang pasir sehinggalah kepada golongan terpelajar dan cerdik pandai.
Maka tidak hairanlah pada zaman Nabi saw, para perwakilan yang datang mengambil pengajaran daripada Baginda dalam beberapa ketika sahaja, namum mampu mengislamkan keseluruhan kabilahnya, Sebab, konsep yang jelas dan mudah. Kalaulah perbahasan akidah begitu sukar dan susah seperti yang difahami oleh golongan ahli kalam dan falsafah, bagaimana mungkin golongan awam yang buta huruf atau tidak memiliki kecerdasan akal yang tinggi untuk memahaminya?
Kata Dr Yusuf al-Qaradawi: "Tambahan pula, perbahasan ilmu kalam, sekalipun mendalam dan kepenatan akal untuk memahami dan menguasainya, ia bukannya akidah... Lebih daripada itu perbahasan ilmu kalam telah terpengaruh dengan pemikiran Yunan dan cara Yunan dalam menyelesaikan masalah akidah. Justeru imam-imam salaf mengutuk ilmu kalam dan ahlinya serta berkeras terhadap mereka. (al-Qaradawi, Thaqadah al-Dai'yah, halaman 92 Beirut: Muasasah al-Risalat [1991].) Sebab itu - barangkali - dakwah kepada akidah Islam di tempat kita tidak subur. Sebaliknya carita keluar Islam yang disuburkan. Proses pemulihan akidah pun dalam banyak rekodnya adalah gagal. Ini kerana kita banyak berfalsafah daripada membahaskan akidah berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Maka bacalah buku-buku akidah yang jelas membimbing jiwa dan akal secara fitrah, bukan falsafah yang menyusahkan.
Ramai orang muda atau profesional yang menghadiri kelas-kelas pengajian saya. Saya katakan kepada mereka hadirlah dengan kebiasaan anda dan fahamilah apa yang hendak disampaikan. Anda tidak diwajibkan berkopiah atau berjubah. Pakailah yang anda selesa. Bukan syarat masuk ke masjid mesti berketayap. Jangan kita letakkan syarat hendak memahami agama ini yang bukan-bukan. Nanti ramai yang tidak sampai maklumat Islam kepadanya. Atau akan menjadi peraturan yang dianggap agama, akhirnya diwajibkan secara tidak sedar. Lihat saja:
- sebahagian wanita Muslimah kita. Mereka sekalipun telah menutup aurat, namun jika tidak memakai telekung mereka rasa sukar untuk solat. Bahkan ada yang rasa tidak boleh bersolat tanpa telekung. Padahal telekung itu hanyalah budaya Asia Tenggara. Solatlah dengan pakaian anda selagi menutup aurat.
Demikian sebahagian insan yang beramal dengan Islam itu terpaksa mengasingkan hidupnya dan beruniform berbezan dengan orang lain. Ini seperti apabila ditonjolkan watak orang soleh ialah lelaki yang berserban, tangan memegang tasbih sentiasa, tidak bergaul dengan manusia biasa, sebaliknya hanya berjalan sendirian. Itulah wali kononnya. Adakah Nabi saw dan para sahabatnya berwatal demikian sehingga kita jadikan itu ciri-ciri orang soleh? Tidakkah berjalan dengan sentiasa memegang tasbih lebih menampakkan ciri-ciri riak dalam amalan?
Sebab itu Imam Ibn Jauzi (meninggal 597H) mengkritik sebahagian daripada sikap ini dengan menyatakan:
"Di kalangan golongan zuhhad (golongan sufi), ada mereka yang memakai baju yang koyak tidak dijahit dab membiarkan serban dan janggutnya tidak berurus untuk menunjukkan dia tidak mementing dunia. Ini sebahagian daripada riak (menunjuk-nunjuk)." (Ibn Jauzi, Talbis Iblis, m.s. 179-180, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).
Lebih buruk lagi, penonjolan watak yang seperti itu menjadikan Islam tidak praktikal untuk semua manusia, sebaliknya hanyan untuk beberapa kerat manusia ajaib sahaja. Demikian juga, kadangkala buku-buku kerohanian menggambarkan untuk mendekatkan diri kepada Allah begitu sukar sehingga seakan tidak akan dicapai oleh manusia biasa. Pengamal Islam itu seakan manusia maksum seperti malaikat dan bebas daripada urusan dunia. Ini boleh mematahkan semangat orang awam daripada menghayati Islam. Padahal Nabi saw dan para sahabat tidak demikian rupa kehidupan mereka. Dr Yusuf al-Qaradawi mengkritik beberapa pandangan al-imam al-Ghazali dengan katanya:
"Apa yang dapat difahami daripada himpunan kitab-kitab sufi al-Ghazali yang mengandungi pengaruh kezuhudan yang kuat - sekalipun secara tidak langsung - bahawa insan contoh di sisi al-Ghazali dan golongan sufi secara amnya bukanlah insan yang dikenali oleh para sahabah ra, yang difahami daripada al-Quran, Sunnah dan sirah.
"Insan contoh yang difahami oleh para sahabah ialah insan yang menghimpunkan antara dunia dengan akhirat, antara hak dirinya dengan Tuhannya, antara meningkatkan roh dengan berkhidmat kepada masyarakat, antara menikmati nikmat dunia dengan bersyukur kepada Allah swt, antara beribadat dengan berjalan serta bertebaran atas muka bumi mencari kurniaan rezekiNya, yang bekerja untuk dunia seakan hidup selamanya dan beramal untuk akhirat seakan mati esoknya." (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Al-Imam al-Ghazali: Baina Madihih wa Naqidih, m.s. 164, Beirut: Muassasah al-Risalah). Apabila ada wartawan bertanya tetang adakah ubat tertentu haram kerana kononnya ada najis tertentu, saya jawab:
"Begitulah kita berterusan, jika asyik mencari perkara untuk dihukum haram sedangkan pada masa yang sama kita tidak berusaha menjadi pengeluar. Maka sempitlah umat ini dengan keputusan-keputusan haram dalam banyak perkara. Sebelum mejawab, saya ingin kata: Kita semua hidup dalam keadaan haram kerana selalu bergantung kepada orang lain dan tidak menunaikan fardu kifayah memerdekakan umat. Sehingga akhirnya masyarakat dunia kata; kita hanyalah umat yang tahu mengharamkan, bukan menghasilkan produk untuk kebaikan manusia."
Dalam usaha menarik semua lapisan mendekati Islam, marilah kita mempersembahkan kepada masyarakat akan Islam yang mudah dan praktikal, seperti mana wajahnya pada zaman teragungnya iaitu cara Nabi saw dan para sahabah Baginda. Jika tidak, agama ini akan menjadi begitu akslusif hanya untuk kelompok tertentu sahaja dan ditinggalkan lautan umat dalam kesesakan.
Re-Type : Suhana Rasid
No comments:
Post a Comment