Tuesday, December 25, 2007

Tanggani Gejala Fahaman Sesat

Semasa saya di Jakarta baru-baru ini, berita yang menjadi tajuk utama di televisyen dan akhbar di negara itu adalah bertaubatnya seorang pemimpin aliran sesat. Aby Salam alias Ahmad Moshaddaq mengaku dirinya menjadi nabi setelah bertapa selama 40 hari dan 40 malam di sebuah desa bernama Gunung Bunder di daerah Kacamatan Bogor, Indonesia. Beliau dikatakan memimpin satu kumpulan ajaran sesat bernama Qiyadah al-Islamiyah. Gejala mengaku diri nabi bukanlah sesuatu yang baru, terutama di rantau ini. Sebelum ini sudah ada beberapa orang yang mendakwa wahyu atau dilantik menjadi nabi.


Nampak mudah bagi pemimpin ajaran sesat itu menjadi popular - hanya mengiklankan sesuatu yang janggal dan memilih nama yang cantik, Qiyadah al-Islamiyah, yang bermaksud Kepimpian Islam. Tetapi ternyata inti ajarannya terdapat banyak penyelewengan fakta dan tafsiran. Begitu juga fahaman radikal kelompok Jemaah Islamiyah (JI). Namanya juga cantik yang bermaksud 'golongan orang-orang Islam'. Sayangnya inti pentafsiran ideologinya keras dan songsang hingga menghalalkan keganasan berdarah dan kemusnahan harta benda awam. Serupa juga banyak orang yang mempunyai nama yang baik - Abdullah, Ahmad, Zarinah atau Aisyah (sekadar conton). Tetapi di sebalik keindahan pada nama, kadangkala ada yang tidak sepadan dengan moral dan akhlak mereka. Sekarang ini pula ada orang yang murtad, tetapi masih memakai nama Muslim. Setentunya mengelirukan. Tetapi kepada pihak berkuasa manakah yang boleh diaju masalah ini oleh masyarakat? Setentunya ia perlu datang dengan dokongam kuasa undang-undang untuk mengatasinya dan bukan setakat mengiklankanya melalu akhbar atau kaunseling semata-mata.


Pernah ada satu e-mel daripada seorang isteri yang meminta tolong kerana suaminya terpengaruh dengan fahaman ingkar sunnah. Jika dahulu ulama melihat gejala seperti itu sebagai suatu jenayah agama yang serius, kini individu seperti si suami seolah-olah mendapat perlindungan atas dasar ihsan dan hak kebebasan beragama. Ramai yang kini menyalahgunakan hak kebebasan sehingga menggugat ketenteraman umat beragama, Hatta penggunaan nama boleh mengelirukan orang awam. Kini nama seperti Ahlul Sunnah Wal Jamaah sendiri telah menjadi jajaan ibarat jenama komersial. Namanya baik tetapi digunakan unutk meraih keuntungan perniagaan dan bukan untuk meluruskan agama. Lihat pula kumpulan Al-Fatiha Foundation yang ditubuhkan pada 1998 di Amerika Syarikat. Anggota-anggotanya semacam tidak berasa bersalah memakai istilah Islamic Gay, Muslim Lesbian, Transgender Muslim dan sebagainya.


Kita boleh faham jika penyalahguna istilah tersebut adalah kerana kejahilan atau kecetakan ilmu. Tetapi jika setelah diberitahu mereka masih berdegil, maka tindakan yang lebih tegas adalah perlu. Pernha menjadi suatu ketika dahulu Mufti memberitahu seorang ketua kumpulan kuda kepang bahawa upacara pemujaan boleh membawa kepada kekufuran, ketua tersebut dengan bangga menyahut "Saya sedia bertanggungjawab dalam kubur saya..." Itu yang dikatakan dalam peribahasa Arab 'jahil murakab'. Maksudnya seorang yang jahil agama tetapi enggan mengakui kejahilannya, dan enggan pula belajar untuk keluar daripada kejahilannya.


Imam Ghazali rahimahullah pernah mengingatkan tentang 4 jenis orang yang tahu dalam kitabnya, Ihya Ulumuddin.

"Orang yang tahu yang dia tahu dan senantiasa ingin tahu... ikutilah dia. Orang yang tahu dia tidak tahu, dia ada keinginan untuk tahu... ajarilah dia. Orang yang tahu yang dia kurang tahu, dia tidak menambah apa yang telah diketahui... ingatkanlah dia. Orang yang tahu dia tidak tahu dan tidak ada keinginan pula untuk tahu daripada orang yang tahu... hindarilah dia."
(Bersambung Minggu Hadapan)

No comments: