Friday, July 28, 2006
Tercetusnya serangan Israel ke atas Palestine dan Lebanon didakwa Israel sebagai mekanisme mereka (Israel) mempertahankan dirinya dari keganasan Palestin dan Lebanon. Amerika Syarikat pula galak menyokong perilaku sekutunya berpaksikan kenyataan ini. Benarkah ianya suatu sebab yang boleh diterima masyarakat dunia? Seseorang yang berfikiran waras tentu sekali tidak dapat menerimanya.
Tapi, tunggu!! Gerak saraf (propaganda) yang dimainkan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya melalui media elektronik dan juga peras ugut melalui kekuatan ketenteraan dan ekonomi, sedikit demi sedikit mempengaruhi minda masyarakat dunia untuk "mempercayai", lantas akur pada pembohongan mereka. Lupakah kita bahawa AS dan Britain menyerang Iraq dengan sebab yang dibuat-buat, kononnya Iraq mempunyai "weapons of mass destruction". Hingga ke hari dan saat ini dakwaan mereka tidak dapat dibuktikan. Lebih menyedihkan ramai yang sudah lupa sebab-musabab Iraq diserang dan menganggap serangan ke atas Iraq sudah jadi isu basi. Kalau keluar surat khabar pun, dah malas nak baca.
Inikah yang bakal berlaku pada Palestin dan Lebanon? Apakah suatu hari nanti negara-negara ini akan kita lupakan? Patutkah kita, khususnya masyarakat Islam, tertipu lagi oleh puak-puak yang nekad hendak memusnahkan Islam?
Jika kita mengikuti siaran berita TV CNN dan BBC, pasti akan kita dengar berulang kali bagaimana kedua-duanya mendendangkan lagu bahawa Israel berhak menyerang Palestin dan Lebanon untuk mempertahankan diri dari "pengganas Hamas dan Hizbollah". Setiap siaran mereka akan mewar-warkan kekejaman Hammas yang telah menculik seorang tentera Israel dan kerakusan Hizbollah menculik dua anggota tentera Israel. Uniknya, hanya sekali-sekala berbisik-bisik bagaimana kabinet Palestin diculik dan dikurung pihak Israel. Itupun ulasan dibuat dengan nada yang bersahaja, menganjurkan kewajaran Israel bertindak demikian, yakni demi "mempertahankan diri". CNN dan BBC juga selalu menyebut bahwa Israel mengebom kubu kuat Hizbollah dan memusnahkan Hammas. Kali ini intonasi pemberita lebih berbentuk kebencian kepada "pengganas".
Kesemua cara/taktik propaganda yang digunakan di sini bertujuan meyakinkan masyarakat bahawa:
• Israel membedil Palestin dan Lebanon kerana mempertahankan diri daripada serangan pengganas yang bertapak di situ.
• Hammas dan Hizbollah adalah pertubuhan pengganas yang mesti diperangi seluruh masyarakat dunia.
Kesimpulan yang ingin mereka wujudakan di kalangan masyarakat dunia ialah:
• Israel baik dan sokongan harus diberi kepadanya di dalam apa jua perbahasan / perbincangan di peringkat Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
• Palestin dan Lebanon tidak harus dibantu kerana mereka menyokong keganasan. Ini dituju khas kepada negara-negara Islam termasuk Malaysia yang mengetuai OIC. Nampaknya AS dan sekutu-sekutunya berjaya setakat ini sehinggakan OIC tidak segera bertindak (sebab utamanya mungkin mengikut telunjuk AS walaupun orang Islam disembelih yahudi). Namun demikian, Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini mengambil inisiatif dengan mencadangkan penubuhan Pasukan Pengaman.
Cadangan ini mungkin dialu-alukan oleh majoriti masyarakat dunia, tetapi pada hemat saya, ianya adalah satu langkah yang tidak bijak kerana ianya akan mengundang lebih banyak keburukan daripada faedah kepada Palestin dan Lebanon khususnya dan negara Islam amnya. Sila amati hujah di bawah:
• Tidak wujud pun kacau-bilau di dalam negara-negara Palestin, Lebanon mahupun Israel. Kacau-bilau yang kelihatan hari ini, di dalam ketiga-tiga negara tersebut ini adalah disebabkan serangan dan serangan-balas di kalangan mereka. Jika inilah keadaannya, kita memerlukan pasukan yang boleh mengamankan dan mensejahterakan ketiga-tiga negara tersebut dan pasukan pengaman hendaklah ditempatkan di ketiga-tiga negara tersebut. Adakah ini yang dimaksudkan Timbalan Perdana Menteri?
• Mengikut sejarah, Israel memang suka mencari alasan untuk menyerang jirannya, apatah lagi tindakan sedemikian direstui dan disokong sepenuhnya oleh Amerika Syarikat. Apa saja perjanjian aman tidak akan kekal selagi jiran-jirannya itu tidak tunduk kepada kehendak serakahnya. Benarlah apa yang tertulis dalam Al Quran.
• Perlu diingat pasukan pasukan pengaman selalunya diletakkan di negara yang lemah, seperti Afghanistan, Iraq dan dijangkakan pasukan pengaman yang dicadangkan Malaysia akan ditempatkan di Palestin dan Lebanon. Yang akan meraih faedah dalam hal ini ialah kuasa besar seperti AS, UK dan sebagainya. Mereka akan meletakkan perisik-perisik mereka dengan bebas mengumpul maklumat-maklumat perlu untuk kegunaan kemudian hari. Negara yang ditempatkan pasukan pengaman tidak juga aman, malahan menjadi semakin huru-hara. Lihat saja Afghanistan dan Iraq.
Dengan hal yang demikian, Malaysia dicadang untuk menarik balik cadangannya dan jika sekiranya PBB mencadangkannya, pasukan pengaman tersebut mestilah ditempatkan di Israel agar pasukan pengaman benar-benar boleh mengawal kerakusan Israel. Yang terbaik, Malaysia selaku Ketua OIC cadangkan agar negara-negara Islam bersatu untuk menangkis serangan Israel ke atas Palestin dan Lebanon
No comments:
Post a Comment