Wednesday, February 06, 2008

Hikmah Bersuci

Islam utama ibadah yang berkait dengan kebersihan.
Oleh Ustaz Abdul Rahman Mohamed

Kebersihan adalah faktor penting dalam penghidupan manusia kerana kebersihan boleh membawa kebaikan pada diri seseorang dan sekitarannya. Oleh itu agama Islam juga sangat menitikberatkan kebersihan sebagai amalan-amalan keagamaa. Sebagai contoh, Islam mengaitkan kebersihan dengan keimanan. Sabda Nabi saw:
"Kebersihan adalah termasuk keimanan."

Maksudnya, barangsiapa mahu menjadi orang beriman yang baik, maka hendaklah dia sentiasa mengutamakan kebersihan. Islam juga mengaitkan ibadah dengan kebersihan - dihukumkan wajib berwudhuk atau mandi jika seseorang itu dalam keadaan berhadas sebelum melakukan solat.

Oleh itu, barang siapa mahukan sesuatu bagi kepentingan hidupnya di dunia atau di akhirat, maka hendaklah dia beriman, kerana dengan keimanan seseorang itu mengetahui bahawa hanya Allah swt berkuasa untuk memberikan keperluannya. Kemudian, untuk menyempurnakan keimanan pula, dikehendaki dia melaksanakan ibadah solat lima kali sehari sebagai tanda pengabdiannya kepada penciptanya. Solat pula tidak akan diterima melainkan dalam keadaan suci, iaitu mencapai kebersihan melalu wudhuk dan mandi wajib.

Apabila semua manusia dapat mencapai matlamat itu, maka sudah tentu manusia akan hidup bahagia. Wudhuk adalah ibadah pengabdian yang dilakukan dengan mencuci sebahagian anggota badan iaitu sekurang-kurangnya muka, tangan, kepala dan kaki. Pemilihan anggota-anggota ini telah dibuat dengan penuh ketelitian dan sangat bijaksana.

Muka apabila sentiasa dicuci akan membuatnya segar, tangan pula yang sering digunakan untuk menyentuh sesuatu apabila kerap dicuci akan menjadikannya sentiasa bersih. Kepala pula apabila sering dikenakan air akan menjadikannya cergas, sementara kaki yang selalu digunakan untuk melangkah ke mana-mana sahaja apabila selalu dicuci akan menghilangkan kekotoran yang dibawa bersama ke tempat-tempat kediaman.

Mandi pula merupakan suatu ibadah pengabdian kerana dikaitkan dengan hadas besar seperti persetubuhan, mengeluarkan air mani atau wanita yang selesai daripada haid. Persetubuhan halal adalah perbuatan yang harus tetapi kotor kerana sifat persetubuhna yang agresif hingga kadangkala menyebabkan kotoran yang keluar daripada kemaluan 'menyinggih' ke seluruh tubuh badan.

Biasanya setelah melakukan persetubuhan, terkeluar air mani dan lepas keluar haid dan nifas, tubuh menjadi lesu dan lemah. Maka itu, hikmah selanjutnya yang dikaitkan dengan mewajibkan mandi ialah agar Muslim itu kembali bersih dan segar.
Sabda Nabi saw (yang bermaksud):
"Mukmin yang kuat itu lebih baik daripada Mukmin yang lemah."

Mengapa wudhuk dan mandi itu diwajibkan? Jawapannya ialah ramai manusia yang mengamalkan hidup tanpa memelihara dan mementingkan kebersihan. Untuk mengelakkan sifat sedemikian sampai menjejas orang lain, maka Islam mewajibkan mandi dengan mengaitkan kewajiban tersebut dengan iman dan ibadah.

Jadi, siapa yang mahu beriman hendaklah beribadah dan sesiapa yang mahu beribadah mestilah menjaga kebersihan dirinya. Mengapa perlu berwudhuk sampai berkali-kali jika wudhuk terbatal?

Jawapannya ialah ia merupakan ujian keimanan seseorang - sejuah mana dia sanggup mengulangi wudhuknya akan mencerminkan sejauh mana imannya kepada Allah swt.

Selain itu, tiada teori yang menyatakan bahawa tubuh manusia kalau kerap dikenakan air akan membawa bahaya. Sebaliknya, semakin kerap dibersihkan adalah lebih baik. Kulit yang lembap itu lebih baik daripada kulit yang kering. Sungguhpun demikian, Islam tidak membiarkan sesuatu masalah itu tanpa penyelesaian. Bagi mereka yang benar-benar mempunyai masalah buang angin atau terkencing atau keluar darah yang berterusan daripada kemaluan, maka dia tidak perlu mengulangi ibadah bersucinya.

Sabda Rasulullah saw (yang bermaksud): "Apabila seseorang daripada kamu terasa pada perutnya hingga timbul was-was sama ada keluar sesuatu dari duburnya atau tidak, maka janganlah dia keluar dari solatnya hinggalah dia terdengar dan terhidu baunya."
(Riwayat Muslim)

Dalam masalah orang berpenyakit salasil baul (sentiasa terkencing) dan istihadhah (darah yang mengalir berterusan daripada faraj), Rasulullah saw mengajarkan agar mereka membersihkan kemaluan, membalutnya dan kemudian terus melakukan solat tanpa mempedulikan air kencing atau darah yang terus keluar itu.

Antara hikmah yang mendalam mengenai kebersihan melalui ibadah wudhuk dan mandi adalah kesannya di dunia dan akhirat. Di dunia wajah dan tubuh orang yang sentiasa berwudhuk dan mandi itu akan berseri dan senang dipandang orang lain. Itulah sebabnya dikatakan seseorang yang mahu agar dirinya senang dipandang oleh orang lain, hendaklah dia memperbanyakkan wudhuk. Bukan itu sahaja, orang yang berwudhuk itu akan dibersihkan segala dosa yang dibuat oleh anggota-anggota wudhuknya. Sabda Nabi saw (yang bermaksud):
"Apabila seorang hamba Allah itu berwudhuk lalu berkumur-kumur, maka keluarlah segala dosa dari mulutnya; apabila dia mencuci hidung dan menghembuskannya, maka akan keluar dosa dari hidungnya; apabila dia mencuci mukanya, maka akan keluar dosa dari mukanya hingga dari kelopok matanya; apabila dia mencuci tangannya maka akan keluar dosa dari tangannya dan dari celah-celah kukunya; apabila dia mengusap kepalanya; maka akan keluar dosanya dari kepalanya hinggalah dari kedua telinganya; apabila dia mencuci kakinya, maka akan keluarlah dosanya dari kakinya hinggalah dari celah-celah kuku kakinya. Kemudian perjalanannya ke masjid dan solat akan dicatat sebagai pahala-pahala sunat."
(Riwayat Malik, Nasa'i, Ibnu Majah dan Hakim)

Kesimpulannya, hikmah wudhuk adalah:

* tanda-tanda keimanan
* pengampunan dosa
* kebersihan
* kesihatan kulit
* kekuatan dan kesegaran; dan
* wajah berseri

No comments: