* Meraikan Kejayaan Suami
Apabila suami berjaya dalam sesuatu pekerjaan atau memperoleh kenaikan gaji kerana prestasi kerja yang baik, maka sebaiknya isteri turut meraikannya dengan penuh kemesraan dan kasih sayang.
* Bersalam dengan Suami
Satu daripada cara bagi isteri untuk memperlihatkan tanda-tanda cinta kepada suami adalah menyambut kepulangannya dan bercium tangan suaminya. Tindakan ini akan dipandang oleh suami sebagai satu penghormatan. Seorang utusan daripada wanita yang datang berjumpa dengan Rasulullah s.a.w. meminta supaya para wanita dibenarkan berjihad selepas orang lelaki beroleh kejayaan dengan berjihad, bersolat Jumaat, menghadiri sembahyang berjemaah. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya yang bermaksud : Layanan wanita yang baik terhadap suaminya menyamai semua itu.
Penjelasan di atas bermaksud bahawa tanggungjawab yang dilaksanakan isteri terhadap rumah dan suaminya mendapat ganjaran pahala yang sama dengan pahala yang diperoleh suami.
* Mencium Suami
Ciuman mesra pada saat suami memperoleh kejayaan akan mendatangkan kenikmatan tersendiri dan rasa sayang di hati suami kepada isterinya yang dianggapnya menyelami lubuk hatinya. Isteri sebegini akan sangat betuah kerana suami akan semakin sayang kepadanya dan terus mengekalkan keharmonian yang sedia ada.
* Mendoakan Suami
Manfaat doa antara lain untuk menjadi motivasi bagi mengekalkan kejayaan dan menghindari fitnah daripada orang-orang yang dengki. Manfaatnya yang lebih luas adalah seperti berikut :
# Mengadu kepada Allah bahawa segala yang berlaku di dunia ini adalah takdir dan ketentuan dariNya.
# Memastikan bahawa kejayaan tersebut merupakan pertolongan Allah S.w.t.
# Merendah diri di atas kekuasaan Allah.
# Memastikan bahawa tiada daya dan upaya melainkan dengan kehendak Allah.
* Cinta sebagai Suatu Keperluan
Cinta kepada Allah dan iman yang teguh membolehkan pasangan suami isteri melawan nafsu (bermujahadah) demi mengekalkan keharmonian rumahtangga. Lebih-lebih lagi amalan bermujahadah ini adalah sebahagian daripada jihad (jihad melawan nafsu) yang dituntut dalam Islam.
Contoh mujahadah ialah apabila wujudnya satu sikap pasangan kita yang tidak disukai dan sewaktu perbincangan antara suami isteri, perkara itu disuarakan agar ia dapat diubah. Akan tetapi jika sikap itu masih diamalkan oleh pasangan kita, disebabkan ia telah menjadi tabiat sejak dari dulu, maka perlu kita bermujahadah untuk menerima pasangan kita seadanya dengan bersabar. Memang susah untuk melakukannya tetapi mujahadah ini besar nilainya di sisi Allah.
* Pengorbanan untuk Mempertahankan Cinta
.. Membuktikan Cinta
Suami akan sanggup mengorbankan masa rehatnya untuk membantu tugas-tugas isteri di rumah, berbincang dengan isteri dan memberinya bimbingan. Sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk menyekolahkan anak-anak dan memastikan anak-anak mendapat didikan agama yang sempurna.
Isteri pula sanggup bersusah-payah menguruskan hal-hal rumahtangga, mengorbankan waktu rehat untuk melayan suami dan anak-anak, di samping bersungguh-sungguh menjaga solat, membaca Al-Quran, memperbanyakkan sedekah dan ibadah-ibadah lain, demi mendapatkan keredhaan dan cinta daripada Allah.
.. Menikmati Cinta
Alangkah baiknya jika dalam sebuah rumahtangga, suami isteri sama-sama memburu cinta Ilahi. Dari dua keping hati yang sehaluan dalam memburu cinta Tuhan, maka wujudlah suasana yang harmoni dan damai menghiasi rumahtangga.
* Cinta Suci dan Agung
Cinta kepada Allah wajib diusahakan kerana mengenal dan mencintaiNya adalah sumber utama bertapaknya iman di hati. Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin, mengungkapkan seperti berikut : "Bila kecintaan seseorang kepada Allah telah menjadi kukuh nescaya akan muncul dalam wataknya perasaan suka membantu serta mengutamakan orang lain dari dirinya sendiri, bersedia untuk membelanjakan segala yang dimilikinya daripada harta, jiwa dan nasihat yang baik."
* Besarnya Pengaruh Cinta dalam Kehidupan
Seseorang yang mencintai kekasihnya terutama yang belum menikah akan merasakan betapa cinta pada pertama kali diungkapkan, amat berbeza dengan saat setelah berumahtangga. Ada yang mengatakan bahawa cinta adalah sesuatu yang suci, indah dan bercahaya.
Manshur al Hallaj berkata kepada Syibliy ketika dia akan dibunuh dalam bara api setelah dipenjara selama 18 hari,"Wahai Syibliy, cinta itu awalannya terbakar dan akhirnya terbunuh." Begitulah hebatnya pengaruh cinta dalam kehidupan manusia terutama dalam kehidupan berumahtangga.
Mutiara Hikmah :
Cinta semakin dihalang, semakin manjadi kerana dengan cara itu seseorang akan mengenal erti cinta sebenarnya.
Renungan :
Meluahkan rasa cinta dan sayang tidak akan mengurangkan nilai diri yang dimiliki.
Mutiara Hikmah :
Semakin setia seorang suami kepada isterinya, semakin banyak kebaikan yang dicurahkan.
Renungan :
Cinta kepada manusia akan mati, cinta kepada harta akan habis, cinta kepada Tuhan kekal abadi.
Mutiara Hikmah :
4 perkara tiada diberikan oleh Allah melainkan untuk orang yang dikasihiNya, iaitu diam itu adalah permulaan ibadah, tawakal kepada Allah, merendahkan diri serta zuhud di dunia
(Mafhum Hadis)
Renungan :
Terdapat 3 kategori makhluk yang memberi penghormatan kepada mereka yang berkorban demi keredhaan Allah iaitu : Manusia, haiwan dan tumbuhan.
No comments:
Post a Comment