Apakah ada di dalam urusan agama apa yang dinamakan sebagai bidaah hasanah? Persoalan ini cuba dikupas oleh Sdr. Zain y.s dalam laman web alahkam. com. Menarik tulisan ini kerana penulis juga merujuk fatwa ulama terkenal masa kini, Syeikh Yusof al- Qaradhawi yang dirujuk kepada Sumber: Islamonline.net. Kami kongsikan tulisan tersebut dengan pembaca. - Editor.
Sering dikatakan bahawa membukukan al-Quran dan al-Hadis itu sebagai bidaah hasanah. Bila Nabi yang mulia s.a.w. menyatakan “Sesungguhnya setiap bidaah itu saiyi'ah/keji”, maka apakah mungkin ada bidaah lain dari bidaah yang keji. Apakah ada apa yang dinamakan sebagai bidaah hasanah.
Dalam suatu perkara, apabila ada di sana dalil yang boleh disandarkan, sama ada secara umum atau secara khusus apakah perkara itu kita masih lagi mahu menamakannya sebagai bidaah... tetapi bidaah hasanah.
Apabila membukukan hadis itu ada petunjuk dari syarak secara umum, maka mengapa kita menamakannya sebagai bidaah, tetapi hasanah. Bila kerja-kerja menyusun ilmu usul fikah yang tidak ada pada zaman nabi s.a.w. dilakukan tetapi ada petunjuk dari syariat yang menganjurkan apakah dapat kita katakan ia sebagai bidaah.
Semua itu bukan bidaah, sama ada hasanah atau wajibah atau mandubah (sunat) atau apa sahaja. Ia bukanlah perkara yang direka-reka dalam hal agama, tetapi ia memang ada di dalam agama.
Mengatakan sesuatu yang memang ada petunjuknya di dalam agama sebagai bidaah baik dikatakan sebagai hasanah atau apa sahaja adalah suatu perkara yang ganjil dan pelik. Kerana bidaah dan tidak bidaah adalah dua perkara yang saling bertolak ke belakang.
Saling bertentangan yang tak mungkin bersatu. Apabila ia memang sesuatu yang direka-reka dalam agama, maka ia adalah bidaah. Bidaah hanya satu.. dholalah. Apabila ada petunjuknya maka ia adalah bukan bidaah.
Berikut ini adalah fatwa Syeikh Yusof al-Qaradhawi berkaitan dengan bidaah dan komentarnya mengenai pembahagian bidaah. Juga penjelasan di sekitar maksud sebahagian ulama membahagikan bidaah kepada beberapa macam.
Soal: Apakah dia pembahagian bidaah? Adakah benar di sana terdapat bidaah hasanah (baik) dan bidaah saiyi'ah (keji)?
Jawab: Berlaku pertentangan pendapat antara kalangan ulama tentang pembahagian bidaah. Sebahagian mereka membahagikannya kepada bidaah hasanah dan bidaah saiyi'ah. Sebahagiannya pula menjadikan bidaah kepada lima bahagian seperti hukum syar'i. Semua pembahagian ini tidak ada asalnya. Kerana hadis s.a.w. menyatakan: “Setiap bidaah itu dhalalah.” Ia adalah sesuatu yang diada-adakan yang tidak berada di bawah mana-mana asal atau sumber dari sumber-sumber tasyri' (pensyariatan) atau ia bukanlah perkara yang ada dalilnya dari mana-mana dalil hukum.
No comments:
Post a Comment