Monday, November 28, 2005
Perbahasan Mengenai Dasar Perkara-perkara yang Membatalkan Solat
Perbahasan Mengenai Dasar Perkara-perkara yang Membatalkan Solat
Sebelum dilanjutkan perbahasan tentang perkara-perkara yang membatalkan solat, adalah baik kalau kita fahamkan lebih dahulu asal usul perkara-perkara yang dikatakan boleh membatalkan solat.
Sebenarnya apabila diteliti perkara-perkara yang membatalkan solat, kita akan dapati bahawa ada antara perkara-perkara tersebut, memang ada nas yang jelas daripada Rasulullah saw dan banyak juga perkara-perkara dikatakan membatalkan solat, merupakan penetapan berdasarkan Ijtihad atau pandangan para ulama.
Antara perkara-perkara membatalkan solat yang bersumber daripada Rasulullah saw adalah seperti berikut:
Dari Zaid bin Arqam katanya:
"Dulu kami biasa berbicara di saat sedang solat. Seseorang di antara kami bercakap dengan teman yang lain yang berada di sebelahnya hingga turun ayat:
"Berdirilah untuk Allah dengan khusyuk" (Quran Al-Baqaroh: 238) Maka semenjak itu kami diperintahkan agar diam dan tidak bercakap-cakap."
(R Al-Jama'ah)
Dari Abu Huroiroh ra katanya:
Seorang lelaki bernama Khalid bin Rabi' telah masuk ke dalam masjid lalu solat. Setelah selesai, Baginda menjawab salamnya lalu bersabda: Kembali dan solatlah, kerana sebenarnya engkau belum solat lagi." Maka orang itupun kembali dan hal itu dilakukan sampai 3 kali, hingga akhirnya Khallad berkata:
"Demi Tuhan yang telah mengutusmu dengan membawa kebenaran, saya tidak dapat melakukan yang lebih baik dari ini, oleh itu ajarkan aku"
Maka Baginda bersabda:
"Jika kamu berdiri solat, bertakbirlah, lalu bacalah ayat Al-Quran yang mudah bagimu, kemudian rukuklah dengan thumakninah, lalu bangkitlah hingga engkau duduk dengan thumakninah pula, kemudian sujud lagi juga dengan thumakninah. Dan lakukanlah cara itu dalam semua solatmu."
(Hadis Riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Selain dari riwayat-riwayat ini, memang tidak ada dalil-dalil dari Al-Quran ataupun hadis Nabi saw yang jelas menentukan apa-apa yang membatalkan solat. Kebanyakkan perkara-perkara yang membatalkan solat ditentukan oleh para ulama kita melalui Ijtihad atau pandangan dan pendapat semata-mata. Oleh sebab itu, ada kalanya ulama-ulama mempunyai pandangan yang berbeza-beza tentang apa yang membatalkan solat.
Sheikh Wahbad Az-Zuhaily dalam kitabnya Al-Fiqhul Islamy wa Adillatuh bab telah memberikan fakta-fakta berikut sebagai menyatakan perkara-perkara yang membatalkan solat:
Bagi Mazhab Hanafi dikatakan ada 68 perkara yang membatalkan solat
Bagi Mazhab Maliki dikatakn ada 30 perkara yang membatalkan solat
Bagi Mazhab Syafii dikatakan ada 27 perkara yang membatalkan solat
Bagi Mahzab Hambali dikatakan ada 36 perkara yang membatalkan solat
Hukum Mentaati Ulama
Persoalan sering membingungkan masyarakat umum adalah, apakah sesuatu perkara yang ditetapkan oleh seorang ulama, setanding dengan apa yang ditetapkan oleh Allah dan RasulNya, sehingga tidak mematuhinya akan menyebabkan kita berdosa?
Pada dasarnya, seorang ulama tidak akan menetapkan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah atau RasulNya. Cuma apabila mereka tidak mendapati sesuatu nas yang jelas, maka mereka akan datangkan pandangan dan pendapat mereka. Hal yang sebenarnya adalah, kita digalakkan untuk menerima pandangan dan pendapat mana-mana ulama, tetapi tidalah sampai kepada hukum wajib dan mesti menerimanya, sehingga kalau tidak menerima pandangan mereka akan menyebabkan kita berdosa.
Begitu juga masalah menolak pandangan ulama. Adalah tidak digalakkan bagi seorang yang jahil untuk menolak pandangan dari seorang tokoh ulama, namun tidaklah penolakkan pandangan tersebut sampai menjadi haram dan berdosa.
Kesimpulannya, hanya penetapan Allah dan penetapan RasulNya yang wajib kite terima dan menolaknya akan menyebabkan seseorang itu berdosa bahkan boleh sampai kepada peringkat kufur. Apabila seorang ulama itu secara terang-terangan menggunakan pandangan dan pendapatnya, kerana tidak ada dalil dari Al-Quran ataupun hadis Nabi saw, maka menerima atau menolak pandangan tersebut bukanlah sesuatu yang boleh membawa kepada dosa dan kufur. Kalaulah pandangan ulama itu wajib diterima, maka antara ulama A dan ulama B yang berbeza pendapat dan pandangan, ulama yang manakah yang wajib dan mesti diterima? Sama sahaja. Hari ini, kita mempunyai ramai asatizah yang berbeza-beza pandangan dan pendapat mereka dalam menyampaikan ajaran mereka. Jadi ustaz atau ustazah manakah yang mesti kita pakai pandangannya?
Firman Allah swt :
اطيعواالله و اطيعواالرسول واو لى الامرمنكم
"Taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan juga para pemimpin kamu."
Para ulama sependapat, apabila diperhatikan, arahan mentaati perintah Allah dan perintah Rasulnya diawali dengan perkataan "Taatlah", sedangkan arahan mematuhi para pemimpin pula tidak diawali dengan perkataan "taatlah". Ini menunjukkan perintah Allah dan perintah RasulNya tidak boleh , wajib ditaati, sementara perintah dan suruhan oleh para pemimpin tidak kira pemimpin agama atau pemimpin masyarakat ada yang boleh diikuti dan ada yang boleh ditolak. Ini kerana perintah mentaati Allah dan RasulnNya adalah mutlaq. Mutlaq di sini maksudnya, tidak ada pilihan.
Oleh itu, penting bagi setiap individu muslim mengetahui dan mengenal pasti setiap yang dipelajari itu sama ada ia merupakan hukum Allah, hukum RasulNya atau hukum yang ditentukan oleh ulama. Sperti yang telah dijelaskan, hukum Allah dan RasukNya tidak boleh ditolak, hukum yang ditentukan oleh ulama pula boleh diterima dan boleh ditolak. Walau bagaimanapun, setiap pandangan dari seorang ulama kalau ditolak sekalipun, hendaklah dihormati, jangan sampai dicemuh, dikeji dan difitnah sebagai salah dan tidak betul, kerana tidak akan berbuat demikian melainkan seorang yang sangat jahil.
Pada masa yang sama, ingin ditekankan di sini, apabila majoriti ulama mempunyai pandangan dan pendapat yang sama tentang sesuatu perkra walaupun tidak ada nas Al-Quran dan Hadis sekalipun, maka yang demikian itu dinamakan sebagai Ijma dan hukum mematuhi Ijam adalah wajib.
Oleh itu, selain dari apa yang telah ditetapkan oleh nas hadis, perkara-perkara membatalkan solat yang telah ditetapkan melalui pandangan dan pendapat ulama secara umumnya adalah:
1) Makan
2) Minum
3) Bercakap-cakap
4) Berdehem tanpa uzur
5) Banyak bergerak
6) Meninggalkan salah satu rukun
7) Tertawa
8) Menyanyi
9) Memberi salam dengan sengaja
10) Berpaling dari arah qiblat
11) Terbuka aurat
12) Murtad
13) Mendahului imam
14) Berhimpitan antara lelaki dan wanita
Ketahuilah, antara perkara-perkara yang telah ditetapkan oleh ulama sebagai membatalkan solat adalah Banyak Bergerak. Cuma setiap ulama mempunyai ukuran berbeza-beza tentang kadar pergerakan yang boleh membatalkan solat. Tetapi, semuanya setuju apabila pergerakan itu tidak ada kaitannya dengan solat seperti menjahit, memasak, mencuci atau sebagainya, maka ia membatalkan solat. Tetapi apabila pergerakan-pergerakan itu merupakan pergerakan yang diperlukan dan tidak dapat dielakkan, maka pergerakan itu tidak membatalkan solat walau sebanyak mana sekalipun. seperti yang dinyatakan oleh Imam Asyaukani dalam kitabnya, Nailur Awthor dan Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya, Al-Mughni.
Seperti yang telah dijelaskan, pandangan dan pendapat ulam-ulama dinamakan sebagai Ijtihad. Ijtihad semua ulama adalah benar dan baik. Namun Ijtihad bukan merupakan sesuatu yang tetap dan tidak boleh berubah dan diubah. Yang tidak boleh berubah dan diubah adalah apa yang ditetapkan melalui nas Al-Quran dan Al-Hadis. Setiap ulama mendatangkan Ijtihad mereka berdasarkan zaman dan keadaan. Itulah sebabnya kalau kita perhatikan Imam Syafii, beliau ada dua jenis Ijtihad; Qaul Qadim dan Qaul Jadid. Qaul Qadim adalah Ijtihadnya yang perlu dibuat di zaman lampau lantas akhirnya diubah oleh Imam Syafii rh, dengan Qaul Jadid, iaitu Ijtihadnya yang baru. (Kesimpulan dari Kitab Atsarul Ikhtilaf)
Bukankah suatu sikap yang bijak bagi seseorang yang bermahzab Syafii berpegang kepada Ijtihad Imam Syafii yang lama (Qaul Qadim), padahal telah ada qaulnya yang lebih muktamad. Ini semua menunjuakkan bahawa, pandangan ulama yang berdasarkan Ijtihadnya boleh diubah. Satu contoh Ijtihad.
Di Singapura suatu ketika dahulu, para ulamanya telah mengharamkan pendermaan organ dan organ yang menjadi bahan perbahasan ketika itu ialah ginjal. Ijtihad sedemikian dibuat setelah mengambil kira keadaan ketika itu yang belum banyak kepakaran untuk melakukan permindahan organ dengan selamat. Tetapi sekarang, para ulama yang terkemudian telah membolehkan pendermaan organ kerana Singapura kini mempunyai ramai pakar untuk menjamin keselamatan dalam urusan pemindahan organ manusia.
Kesimpulannya, yang ingin kita fahamkan adalah, apa yang ditetapkan melalui hukum Syarak tidak boleh diubah walau dalam apa jua keadaannya, sementara apa yang ditetapkan melalui Ijtihad boleh diubah mengikut keperluan zama dan keadaan. Apabila terlalu banyak perbezaan dalam pandangan dan pendapat, maka adalah tidak salah jika kembali kepada mematuhi Allah dan RasulNya sahaja. Langkah sedemikian adalah berdasarkan tunjuk ajar Allah swt.
Firman Allah swt:
فإن تنزعتم في شىء فردوه إلى الله والرسول
" Maka apabila kamu bertikai tentang sesuatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan RasulNya." (Quran: An-Nisa: 59)
Di taip satu persatu dr Suhana...
(penat woiii...jari cramp)
No comments:
Post a Comment