Sunday, July 23, 2006

BISIKAN HATI SEORANG MUSAFIR

Oleh: Akhi Masrawi

PERJALANAN ini sangat jauh. Sukar. Berliku. Itu sahaja? Tidak. Barangkali untuk menggambarkan perjalanan ini terlalu sukar. Kerana kita sendiri selaku manusia tidak mampu tahu di mana permulaan kita serta bila pula kesudahan usia kita.

Dalam Al-Quran Allah SWT telah berjanji bahawa setiap sesuatu ada tempohnya iaitu ajal. Dan apabila datangnya ajal seseorang misalnya, tidak akan dicepatkan atau dilewatkan tempohnya. Itulah janji Allah SWT yang merupakan sebenar-benar janji.

Kehidupan ini kita selaku manusia tak mampu tentukan kesudahannya. Hanya kita mengetahui kita telahpun bermula. Tidak kiralah bagaimana permulaan kita itu... yang penting ialah untuk menentukan kesudahan kita nanti adalah kesudahan yang baik yang sering kita doakan kepada Allah supaya menjadikan kesudahan kita sebagai husnul khatimah.

16 Oktober adalah tarikh saban tahun yang mengingatkan saya kepada bertambahnya usia. Ini bermakna saya semakin dekat kepada hari kematian saya. Tetapi hari itu saya sendiri tidak pernah dan akan mengetahuinya. Kerana hari itu adalah hari yang maha rahsia.

Dulu saya sering menuturkan kepada kawan-kawan kalam motivasi dan peringatan tentang usaha yang kami lakukan. Saya katakan kepada mereka bahawa "kejayaan kita bukanlah terletak kepada usaha kita, kerana jika usaha yang menjadi ukurannya maka apa yang kita dapat cuma harga untuk kerja kita. Tetapi hakikatnya kerja kita adalah pertaruhan kita kepada Allah untuk mendapatkan keberkatan dan rahmatNya jika kita mengiringkan amalan itu dengan keikhlasan. Kita bukan hanya akan dapat kejayaan yang kita kehendaki tetapi juga pahala kerana niat dan keikhlasan kita itu."

Setelah usai menghabisi pengajian Syariah Islamiah peringkat sarjana muda dan pulang ke tanahair untuk memperjuangkan apa yang saya telaahkan, saya seakan terjun ke dunia baru. Dunia baru itu terlalu asing kepada saya sehingga saya hampir-hampir sesat kerananya. Kalam-kalam motivasi yang pernah saya tuturkan kepada kawan-kawan seakan mahu memakan diri saya sendiri. Namun, alhamdulillah saya cepat sedar dari kelalaian itu.

Dunia kerjaya adalah dunia pasca pengajian yang sangat mencabar. Dulu orang belajar kerana untuk mendapatkan kerja. Apabila mendapat kerja, maka akan senanglah hidupnya. Tetapi dunia sekarang orang mencari wang untuk belajar dan orang terpaksa menghabiskan wang untuk mendapatkan kerja. Pelik bukan. Sekarang tahun 2004, 20 tahun nanti mungkin senario akan lebih berbeza. Jika 20 tahun lagi saya masih hidup saya mahu melihat apa pula keadaannya.

Jika tidak silap saya Imam As-Syafie pernah mengatakan: "Jika kamu menghendaki dunia maka hendaklah dengan ilmu, jika kamu menghendaki akhirat maka hendaklah dengan ilmu dan jika kamu menghendaki kedua-duanya maka hendaklah dengan ilmu."

Kisah graduan mencari kerja memang kisah yang berserabut. Sesetengah orang prejudis mengatakan kesilapan graduan menganggur kerana graduan sendiri yang terlalu memilih kerja. Mungkin ada benarnya. Saya sendiri pun memilih kerja... kerana jikalah tidak ada gunanya memilih kerja apa gunanya belajar pun memilih bidang? Alhamdulillah saya bersyukur. Dalam keripuhan graduan-graduan terpaksa menganggur saya hanya sempat menganggur seusai pengajian dan pulang ke Malaysia selama 3 bulan. Bermula April ditawarkan berkhidmat sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) subjek Pendidikan Islam sehingga Disember 2004. Kawan-kawan yang lain kewalahan menanti kerja sehingga ada sebilangannya memilih untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Tahniah kepada mereka kerana semangat menuntut ilmu itu masih menebal dalam diri. Saya?

Kerana terdesak kepada situasi, saya lebih selesa memilih untuk berkerja. Walaupun tawaran sebagai GSTT hanyalah bertaraf kontrak dengan gaji berskala SPM RM 654.30 sebulan memadai dari hanya sekadar menjadi penganggur tanpa sebarang imbuhan. Sebagai seorang anak lelaki yang punyai tanggung jawab besar, tentulah saya tidak harus berpuas hati dengan keadaan ini. Kontrak saya pun akan usai menjelang Disember nanti. Saya sedar, kerana ini saya meneruskan usaha menghantar permohonan kerja ke merata-rata tempat semula, termasuk MARA, Lembaga Maktab Mahmud, KPLI, j-QAF dan sebagainya sebagaimana telah saya usahakan seawal kepulangan dulu.

Memang ada yang memberi nasihat supaya jangan mengharapkan kerja dengan kerajaan. Mereka sarankan saya berniaga kerana sekarang dunia kerjaya mesti kena ada KABEL. Tanpa kabel, mohon apapun tak ada pertimbangan. Entahlah saya sendiri tidak pasti hal ini. Mungkin ada benarnya ada tidaknya. Kerana bukankah kesemua itu takdir dan ketentuan Ilahi. Sekiranya kita hanya berserah dan membiarkan sahaja tentulah takdir tidak akan menyebelahi kita. Dan adakalanya terasa memang kabel ini benar-benar ada sehingga terasa seperti sia-sia sahaja memohon kerana langsung tidak dipertimbangkan untuk jawatan yang dipohon. Bukan alasan kerana tiada kelayakan atau tidak cukup pengalaman tetapi kerana mereka sudah mempunyai calon yang ditentukan dan semestinya calon yang sesuai itu adalah orang yang dikatakan mempunyai kabel dalam jabatan tersebut, sama ada kelulusan dia sesuai ataupun tidak.

Sukar rasanya. MTest KPLI Ogos lalu pun takdir untuk dipanggil temuduga tidak menyebelahi saya. Entahlah, apa kemungkinannya. Tetapi lega juga kerana masih ramai kawan-kawan saya yang senasib dengan saya. Kali ini saya memohon program KPLI SR j-QAF MOD LPBS pula. Saya serahkan segalanya kepada Allah SWT untuk menentukan. Mungkin sebelum-sebelum ini saya tidak bernasib baik kerana kerja yang saya pohon itu tidak sesuai dengan saya... maka saya letakkan pada kali ini harapan yang tidak tinggi untuk terpilih kerana saya tidak mahu merasa kecewa lagi. Biarlah Allah yang tentukan mana yang terbaik untuk saya. Justeru saya merasa selesa beranggapan hikmah saya tidak dapat kerana Allah barangkali telah menentukan sesuatu yang jauh lebih baik di depan, cuma masanya belum tiba. Sehingga masa itu tiba... maka saya mestilah terus berusaha, sabar dan ikhlas meneruskan hidup yang masih jauh ini.

Bila rasa susah, tengok kanan, tengok kiri, tengok depan dan belakang. Tengoklah pada manusia di sekeliling. Kerana andai kita rasa kita ini susah... masih ada manusia lain yang lebih susah dari kita. Dari itu kita tidak wajar lupa diri bila kita telah senang nanti. Dunia ini adalah perniasan... tentulah setiap perhiasan menjadi idaman setiap orang, tetapi perhiasan sentiasa menjadi rebutan dan kerana itu seringkali apabila kita mengejarnya ia lari dari kita. Dan sebelum saya menyudahi tulisan kali ini saya teringat kata-kata seorang mursyid saya yang mengatakan dunia akan lari dari orang yang mengejarnya, dan dia akan melutut kepada orang yang tidak mengejarnya. Dikukuhkan lagi dengan sifat zuhud yang Nabi SAW ajarkan bahawa yang dimaksudkan dengan zuhud itu bukan kamu mengharamkan apa yang halal dan mengabaikan apa yang halal, tetapi zuhud itu ialah apabila engkau mengutamakan apa yang ada di tangan Allah melebihi apa yang ada di tanganmu.

Salam hari lahir untuk saya ke 24 (16 Oktober 1980)

Kata-kata Pujangga: Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang cinta kepada dunia dan rakus kerananya, hilanglah dari hatinya perasaan takut kepada akhirat."

No comments: