Friday, July 21, 2006

Serangan Israel Terhadap Lubunan

BEIRUT: Israel memperluaskan kawasan serangannya ke atas Lubnan apabila jet pengebomnya membedil lapangan terbang dan kawasan perumahan berhampiran di selatan ibu negara Lubnan pada hari kedua berturut-turut semalam selain membakar depoh minyak serta menyekat lebuh raya utama ke Syria.


Lubnan adalah medan konflik kedua tentera Israel yang turut menyerang Semenanjung Gaza, kononnya untuk membebaskan seorang askarnya daripada tawanan pejuang Palestin.

Seramai limalagi penduduk awam Lubnan terbunuh semalam, menjadikan korban keganasan Israel di Beirut mencecah 62 orang sejak kelmarin, selepas dua tentera Israel ditawan oleh pejuang Hezbullah dalam satu serangan di sempadan selatan Lubnan.

Selain itu bilangan mangsa cedera kini 170 orang selepas 69 kecederaan dilaporkan semalam.

Pegawai lapangan terbang berkata, salah sebuah daripada tiga landasannya dibedil peluru berpandu Israel menjelang solat Jumaat semalam. Lapangan terbang itu ditutup sejak jet pejuang Israel membedil landasan pada pagi kelmarin.

Israel menyatakan serangannya mempunyai beberapa matlamat iaitu bagi mendesak Hizbullah membebaskan anggotanya, cuba mengusir pejuang itu dari selatan Lubnan dan menghukum kerajaan Lubnan kerana membenarkan Hizbullah bergerak bebas di selatan negara itu.

Ramai penduduk Israel terkejut kelmarin apabila dua roket mengenai Haifa, bandar ketiga terbesar Israel yang terletak kira-kira 30 kilometer ke selatan Lubnan. Belum pernah serangan roket mengenai sasaran sejauh itu di Israel.

Jet pejuang Israel turut menyebabkan kebakaran depoh minyak di sebuah stesen jana kuasa di selatan Beirut awal pagi semalam. Tentera Yahudi turut membedil lebuh raya antara Beirut dan Damsyik di beberapa lokasi memaksa pengguna jalan raya menggunakan laluan pergunungan untuk ke ibu negara Syria itu.

Jet Israel turut membedil jejambat, persimpangan dan kawasan perumahan penduduk di sekitar ibu pejabat Hezbullah di kawasan Haret Hreik, di Beirut. Bagaimanapun, jet Yahudi itu gagal dalam misinya membedil ibu pejabat berkenaan.

Di Baitulmaqdis, jurucakap tentera Israel berkata, ibu pejabat Hezbollah menjadi sasaran serangan udara itu.

Ketua Media Hezbullah, Hussein Rahal semalam mengesahkan ibu pejabat itu yang menempatkan operasi keselamatan pertubuhan berkenaan gagal diserang oleh Israel. – AP

berita harian

No comments: