Sunday, April 06, 2008

Akal dan Wahyu


Oleh Ustaz Noor Tijany

Rasulullah saw bersabda: “Allah tidak menjadi suatu makhluk yang terlebih mulia di sisinya daripada akal.” Manusia diperintahkan oleh Allah supaya sentiasa memelihara akal dan menggunakannya dengan sebaik-baiknya. Jika setiap tindakan manusia mengikut perhitungan akalnya dan tidak mengikut kehendak hawa nafsunya, maka manusia itu akan mulia dan berjaya dalam perjuangannya. Dengan akal, manusia dapat membezakan antara yang baik dengan yang buruk, antara yang betul dengan yang salah. Dengan akal, manusia dapat mencapai ilmu pengetahuan dan kemampuan berfikir. Dengan akal manusia diberi kepercayaan untuk melakasanakan tugas-tugas pengaturan, pengurusan dan pembangunan, terutama sekali tugas kepimpinan sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi ini. Maka untuk melaksanakan tugasnya, manusia memerlukan ilmu pengetahuan dan untuk mencapai ilmu, Allah memberikan akal dan pancaindera. Tetapi untuk kemaslahatan manusia agar tidak sesat, maka Allah menurunkan petunjuknya dengan perantaraan wahyu yang diturunkan kepada RasulNya.

Akal dan petunjuk tersebut saling menyempurnakan. Tanpa akal, manusia tidak dapat memahami petunjuk dan tanpa pentunjuk, akal mungkin terpengaruh dengan oleh hawa nafsu dan godaan syaitan. Seorang ahli filsafat Yunani yang mashyur, Plato, berkata: “Suatu tanda kelebihan orang berakal ialah apabila dia telah dapat menggunakan pelita pada malam yang gelap.” Perhatikanlah firman Allah dalam suroh Al-Mulk:10 bermaksud: “Dan mereka (penghuni neraka) berkata: ’Jikalau dahulu kami mendengarkan (peringatan yang disampaikan kepada kami) dan kami menggunakan akal kami, nescaya kami tidak menjadi penghuni neraka.’.” Al-Hassan berkata: “Agama seorang tidak akan sempurna sebelum sempurna juga akalnya. Tidaklah Allah menitipkan akal kepada seorang kecuali akal tersebut akan menyelamatkannya. Hanya dengan akal, manusia mampu menyedari hakikat dirinya sebagai hamba Allah.” Allah memuji orang-orang yang sentiasa menggunakan akalnya untuk menapis setiap pandangan yang diberikan kepadanya. Perhatikan firman Allah dalam suroh Az-Zumar: 17-18 (bermaksud): “Maka berilah khabar gembira kepada hamba-hambaKu yang mendengarkan perkataan-perkataan (pandangan-pandangan) yang sampai kepadanya, lalu mereka memilih atau menapis dengan akalnya dan mengikut pandangan yang terbaik daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk daripada Allah dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.”

Kemampuan Akal Terbatas

Akal hanya dapat menjangkau segala apa yang disampaikan kepadanya melalui pancaindera, sedangkan perkara-perkara yang tidak dicapai oleh pancaindera, akal tidak akan mampu memikirkannya. Contohnya, hal-hal yang berkaitan denan alam ghaib, alam metafisik, misalnya kehidupan di alam barzakh, alam akhirat dan adanya makhluk yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera, seperti malaikat, jin, syaitan, dan jenis makhluk-makhluk lainnya. Selain memiliki akal, manusia masih memerlukan pentunjuk wahyu dan pedoman hidup (agama) supaya tidak sesat, kerana perhitungan akal tidak dijamin kebenarannya. Manusia diperintah supaya membaca dan membaca ini melibatkan proses mental yang tinggi, iaitu pengenalan, peringatan, pengamatan dan pemikiran – lihat Suroh Al-‘Alaq: 1-5. Allah telah memerintahkan manusia supaya berfikir dan memikirkan kejadian alam semesta. Sesungguhnya kejadian alam raya ini adalah tanda wujudnya Tuhan. (lihat suroh Al-Baqaroh: 164) Dan dalam Suroh Fusshilat: 54, Allah berfirman (bermaksud): “Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di serata tempat di alam yang terbentang luas ini; dan bahkan pada diri mereka sendiri, sehingga menjadi nyata kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Apakah belum jelas bagi mereka bahawa Tuhan mengetahui dan menyaksikan setiap suatu?”

Imam Ghazali mengingatkan bahawa selain akal, ada lagi ayat yang lebih tinggi daripada kekuatan akal, iaitu mengetahui melalui idrak (tanggapan). Idrak ini dijadikan agar manusia dapat mengetahui semua jenis benda yang ada di alam raya ini. Beliau menjelaskan bahawa tahap akal itu bukanlah tahap yang tertinggi. Di sebalik akal, terdapat tahap lain yang di dalamnya tersingkap (kasyaf) perkara-perkara ghaib yang ada di luar jangkauan akal. Di antara paling berharga yang ada pada diri manusia adalah akal. Dengan menggunakan akal dan pemikiran yang positif, manusia akan menghayati hidup lebih bermakna. Orang yang berfikir secara positif sentiasa melihat dunia dari sudut yang meringankan untuk menggalakkan semangatnya. Sebaliknya orang yang berfikir secara negative, melihat rintangan dalam segala usahanya, Tiada pencapaian besar yang dapat diperoleh tanpa pemikiran positif dan semangat yang gigih.

Peranan Nafsu

Dalam diri manusia terdapat beberapa jenis nafsu – nafsu makan, nafsu minum, nafsu seksual, nafsu tamak, nafsu marah dan sebagainya. Dapat dibayangkan seandainya seseorang tidak memliki nafsu makan atau minum, pasti dia tidak ada selera untuk makan dan minum. Jika seseorang tidak memiliki nafsu syahwat, maka hampir dapat dipastikan bahawa kelangsungan manusia di muka bumi ini akan pundah dan musnah kerana tidak bernafsu untuk kahwin. Begitu juga dengan nafus marah, tentu saja dapat menolong di kala ada sesuatu yang menyusahkan atau merugikan dirinya.

Oleh itu, nafsu yang ada pada diri manusia bukan untuk dilenyapkan sama sekali, tetapi perlu dikendalikan, jangan samapai bertindak yang melampaui batas dan berpakat dengan syaitan. Orang yang berakal pasti akan menahan kehendak hawa nafsunya kerana hawa nafsu mengalak kepada kenikmatan yang sifatnya hanya sementara dan membawa kepada kebinasaan. Dari Al Burda al Asiami, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Sesuatu yang sangat aku takuti atas kamu adalah syahwat yang menyesatkan perut dan kelamin kamu serta hawa nafsu yang menyebabkan kesengsaraan dan penyesalan.” Hati-hatilah kamu dengan perbuatan zina, kerana zina itu menyebabkan 6 akibat – 3 di dunia dan 3 lagi di akhirat.

Tiga akibat dunia itu:
 Menghilangkan cahaya yang ada pada wajah
 Mengurangi keberkatan rezeki
 Cepat binasa dan merana
Tiga akibat lagi di akhirat:
 Mendatangkan kemurkaan Tuhan
 Susah dalam perhitungan amal
 Masuk nerakan dalam kehinaan

Semoga orang yang terlanjur melakukan perbuatan keji mendapat taufik dan hidayah sehingga dapat bertaubat dan cenderung beramal soleh. Mudah-mudahan juga amal tersebut dapat menghapuskan dosa.

No comments: