Thursday, April 03, 2008

Di Sebalik Sifat Tidak Tahu Baca & Tulis Rasulullah saw


Oleh Mohd Yusop Hassim

Muhammad bin Abdullah tidak pernah tahu membaca atau menulis sehingglah ke peringkat penerimaan wahyu. Bagitu juga kebanyakan umat sezamannya. Namu, Allah swt telah mengurniakan ‘bakat akal’ yang luar biasa sehingga mereka mampu berfikir dan menghafal. Allah swt telah memilih nabiNya seorang yang ‘buta huruf’. Baginda tidak pernah berguru untuk mendapatkan ilmu. Namun, Baginda menjadi pemimpin teragung di muka bumi ini. Inilah suatu hikmah yang dikehendaki Allah swt untuk RasulNya.

Sifat buta huruf Rasulullah saw itu satu perkara yang unik. Secara logiknya, jika Nabi Muhammad saw boleh membaca dan menulis, nescaya kaum Quraisy ketika itu tidak akan mempercayai baginda. Mereka mungkin menuduhnya menyalin Al-Quran daripada kitab-kitab terdahulu. Tetapi sifat buta hurufnya itu menunjukkan bahawa apa yang disampaikannya dating daripada Allah swt. Sungguhpun yatim piatu, kehidupan baginda tidak melarat. Nabi dipelihara dan diasuh oleh datuk dan pak ciknya dengan akhlak yang mulia dan dilindungi Allah swt. Suroh Al-Qolam ayat 4 menjelaskan hal ini yang bermaksud: “Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang tersangat mulia.”

Bukan itu sahaja keistimewaan baginda. Setiap apa yang dilafakan fasih, beradab dan teratur seolah-olah baginda telah mempelajarinya. Kesempurnaan akalnya tidak harus dilihat sebagai suatu yang agung saja. Sebaliknya, umat Islam hendaklah memahami ‘kesempurnaan kejadian’ akal anugerah Allah swt kepada nabiNya – bagaimana baginda menerima wahyu dan apakah tujuannya serta cara baginda menerangkan kepada umatnya. Yang demikian, boleh dikatakan bahawa ‘buta huruf’ itu salah satu criteria kenabian Rasulullah saw. Pertama Al-Quran itu dating daripada Allah swt. Kedua, kemuliaan akhlak yang ada pada diri Rasulullah saw sendiri dikhususkan oleh Allah swt.

Oleh itu, Al-Quran telah memberikan hujah dengan menentang kaum yang meningakari hal itu. Sila hayati maksud ayat berikut:
“Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya Al-Quran, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu; (kalau engakau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu - akan berasa ragu (tentang kebenaranmu).” (Suroh Al-‘Ankabut:48) Mukjizat para anbiya terdahulu adalah mukjizat hissiyah manakala Al-Quran pula mukjizat aqliyah zatiyah, yang mengadungi dalil sawt, tidak terikat pada masa dan tidak pula dikhususkan untuk kehidupan Rasulullah saw.

Ulama dan para ahli falsafah yang silam telah menimba segala ilmu daripadanya. Mereka mengiktiraf bahawa Al-Quran amat sesuai dan baik untuk dijadikan pedoman hidup yang sempurna. Ia juga dapat membina kebudayaan manusia. Justeru, sempurnalah keimanan mereka bahawa Nabi Muhammad saw itu pesuruh Allah. Surah Asy-Syura ayat 52 ada menjelaskan bermaksud: “Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati) dengan perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui sebelum diwahyukan kepadamu); Apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran sebagai cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk kepada sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus.”

Dalam kitabnya, Asy-Syifa, Al-Qadi ‘Iyadh menyatakan: “Nabi Muhammad merupakan manusia yang lebih berakal dan terbijak. Baginda dapat mengesan perkara zahir dan batin seseorang itu seolah-olah baginda telah mempelajari ilmu firasat. “Baginda juga mengetahui tentang siasah am dan khas padahal baginda tidak pernah mengkaji sesebuah kitab. Inilah keistimewaan Rasulullah saw.”

No comments: