DI SEBALIK PENTAULIAHAN ASATIZAH
Oleh
Muhammad Haniff Hassan
IDEA melaksanakan sistem pengiktirafan asatizah sudah menjadi kenyataan.
Seingat penulis, idea ini muncul pada ketika berlakunya insiden yang memeranjatkan ramai pihak - peristiwa seorang ustaz yang menikahi 10 anak gadis sekitar 1994.
Asatizah sudah mula membincangkannya seawal tahun itu dan dalam agenda utama Mesyuarat Agung Pergas pada 1999.
Kini, sistem itu, yang diusahakan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas) dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), menjadi realiti dan dilancarkan pada Disember 2005 setelah menapak dengan perlahan dan melalui pelbagai liku.
Namun pelaksanaan sistem itu bukanlah sesuatu yang baru atau unik.
Di Malaysia, misalnya, telah lama diperkenalkan sistem pentauliahan guru-guru agama untuk membolehkan mereka mengajar dan berceramah di masjid, madrasah dan khalayak ramai.
Hanya perbezaan utamanya ialah sistem yang dilaksanakan di Singapura tidak boleh dikuatkuasakan secara undang-undang. Ia hanyalah inisiatif masyarakat. Mereka yang tidak akur atau menyalahi sistem ini tidak dapat didakwa atau dihukum di bawah undang-undang.
Sama ada sistem seperti ini relevan di dunia yang semakin terbuka masih boleh dibincangkan. Namun, realitinya ialah sistem ini sudah ada di depan mata untuk dilaksanakan.
Justeru, ia tidak boleh diabaikan begitu saja kerana jika ia terbengkalai dan gagal kerana perbezaan pendapat, ia akan memberi gambaran buruk tentang komuniti asatizah di mata masyarakat Islam dan imej masyarakat Islam di mata masyarakat Singapura yang lain.
Dasar syariat
Dari perspektif syarak, apa yang dilakukan ini sememangnya tidak ada ketentuan atau perintah yang qat'ii. Namun ia tidak boleh disifatkan sebagai tidak syarii atau bidaah.
Dasar pelaksanaan sistem ini dari segi syariat ialah demi pertimbangan menjaga maslahat dan menolak mudarat yang diakui syarak.
Oleh kerana sistem ini juga didukung Muis, penguasa tertinggi Islam Singapura, maka inisiatif ini boleh didasarkan pada kaedah fikah yang berbunyi Muamalah Ar-Ra'ii bi Ar-Ra'iyah Manutun bi Al-Maslahah - urusan penguasa dengan rakyatnya bergantung pada maslahat yang hendak dicapai.
Ertinya, penguasa agama mempunyai kuasa untuk melakukan sesuatu yang tidak ada anjuran dalam agama selama mana ia memenuhi maslahat yang diakui oleh syariat.
Untuk gambaran lebih jelas, boleh dikiaskan perkara ini dengan keperluan pendaftaran bagi mengesahkan pernikahan dan perceraian yang diamalkan di banyak negara Islam hari ini.
Pendaftaran seperti itu tidak ada perintahnya dalam syariat dan tidak pernah pula dinyatakan sebagai keperluan dalam kitab para fuqaha dahulu.
Namun, ia dikuatkuasakan hari ini kerana ia mempunyai banyak kebaikan yang memenuhi maslahat agama.
Aspek pertimbangan
Dalam kegigihan melaksanakan sistem pengiktirafan asatizah ini, penulis berhasrat melontarkan beberapa pandangan bagi renungan semua pihak.
Pertama, semua pihak, khususnya masyarakat umum, yang mempunyai harapan tinggi terhadap sistem ini perlu memahami bahawa tiada satu sistem di dunia yang 100 peratus kebal daripada kegenjotan.
Pelaksanaan sistem ini tidak bermakna tidak akan wujud penyelewengan ajaran agama atau kemunculan 'kambing hitam' daripada kalangan asatizah atau anggota masyarakat Islam.
Hal ini adalah kerana komuniti asatizah yang hendak diatur oleh sistem ini dan mereka yang melaksanakan sistem ini terdiri daripada kalangan asatizah yang juga manusia dan mempunyai kelemahan serta mampu melakukan kesilapan.
Penguasaan ilmu agama tidak menjadikan komuniti asatizah kelompok manusia yang maksum atau selamat daripada tergelincir oleh nafsu.
Pelbagai insiden negatif melibatkan beberapa asatizah mengingatkan kita akan hakikat ini.
Masyarakat harus bersedia menghadapi kemungkinan ini dan tiada siapa pun sepatutnya berilusi bahawa 'kambing hitam' tidak akan muncul.
Kedua, kewujudan sistem pengiktirafan tidak seharusnya melupakan semua pihak akan kepentingan elemen kawalan dalaman diri yang lebih menjamin kewibawaan seseorang seperti sifat takwa dan amanah.
Seseorang yang banyak ilmu sekalipun tetapi rendah amanah pada diri sendiri akan mudah berlaku khianat apabila berhadapan dengan ujian.
Maka sebab itulah ada hadis mengingatkan umat Islam akan kewujudan ulama su' (ulama jahat) dan sejarah menjadi saksi bahawa ulama seperti ini sememangnya wujud sepanjang masa.
Sebaliknya, seseorang yang kurang ilmu tetapi mempunyai amanah tidak akan berani dan cepat berfatwa.
Apabila tidak tahu, beliau akan bertanya kerana sikap amanah yang ada pada diri mendorongnya berlaku jujur pada diri sendiri, ilmu dan masyarakat yang mengharapkan bimbingannya.
Ketiga, sejarah perkembangan ilmu Islam dan tradisi ulama dahulu banyak menunjukkan perkembangan yang bersifat sivil.
Perkembangan ini meraikan keterbukaan dan menghargai kepelbagaian. Ia membawa perkembangan ilmu dan intelektual masyarakat Islam.
Namun keterbukaan itu juga mencetuskan pelbagai fahaman dan aliran yang menyalahi fahaman arus utama umat Islam - Ahli Sunah Waljamaah - seperti aliran Muktazilah dan Khawarij.
Ulama dahulu jarang menggunakan pendekatan dan penguatkuasaan undang-undang atau menggunakan kuasa politik untuk mengatasi dan membasmi pemikiran menyeleweng.
Sebaliknya, kita dapati dalam sejarah, ramai alim yang jitu dan berwibawa ditekan dengan kuasa undang-undang. Mereka dipenjara, didera dan dihukum atas kebenaran yang dibela.
Ulama dahulu menghadapi segala penyelewengan kefahaman sejajar dengan anjuran Al-Quran iaitu dengan hikmah, nasihat dan debat yang terbaik sehingga menghasilkan khazanah ilmu yang tidak ternilai.
Hujah dihadapi dengan hujah yang bernas, dan buku dihasilkan untuk menyanggah buku yang lain.
Sistem pengiktirafan yang diadakan itu juga tidak boleh dijadikan jalan pintas untuk menyelesaikan penyelewengan dalam ajaran Islam sehingga menekan pihak lain yang berbeza pendapat atau mematikan daya intelek golongan asatizah dan ulama dalam menegakkan kebenaran.
Hakikat ini menjadi lebih penting jika kita memahami bahawa sistem pengiktirafan ini tidak sama sekali mampu menangkis kemasukan pelbagai idea daripada pelbagai 'ulama' dari luar Singapura yang boleh mempengaruhi masyarakat tempatan.
Tradisi ulama dahulu mestilah dihidupkan semula dan dipelihara. Terlalu bergantung pada penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak sejajar dengan tradisi ulama dahulu yang kita hormati.
Dimensi lain
Sistem pengiktirafan yang dilaksanakan hanyalah bertujuan menetapkan kelayakan seseorang yang dianggap layak untuk menjadi pembimbing ilmu agama dan rujukan dalam masalah yang berkaitan dengan agama.
Ia bukan bertujuan melahirkan komuniti asatizah yang homogen di Singapura.
Sistem ini sama sekali tidak dapat menghalang wujudnya kepelbagaian dan perbezaan dalam komuniti asatizah.
Perbezaan dan kepelbagaian akan terus ada kerana ia adalah sunah alam ciptaan Allah. Perbezaan tidak bermakna penyelewengan.
Jika asatizah yang diperakui oleh sistem pengiktirafan tidak mampu mengurus perbezaan sesama mereka dengan baik, ini pun akan memberi kesan negatif kepada keharmonian amalan agama dalam masyarakat dan akan merosakkan imej agama, asatizah dan masyarakat Islam.
Atas dasar itu, penghayatan terhadap adab ikhtilaf di kalangan asatizah perlu sentiasa diingatkan semula dan terus dipupuk.
Dalam hal ini, Piagam Kesederhanaan yang telah dirumuskan oleh Pergas dalam bukunya, Kesederhanaan Dalam Islam, wajar dijadikan pegangan bersama komuniti asatizah Singapura.
Nota: Penulis adalah anggota Majlis Tertinggi Pergas.
No comments:
Post a Comment