Maulid al-Rasul: Bukan Sekadar Perarakan
Oleh: Abd al-Razzaq b. Abd Muthalib
Kuliyyah Ilmu Wahyu, UIA.
Setiap kali tibanya Rabi' al-awal, pastinya peristiwa agung
kelahiran Muhammad saw akan menjadi ingatan di setiap hati seorang
mukmin. Peristiwa ini merupakan noktah permulaan dalam sejarah
Islam. Di sinilah bermulanya sinar cahaya Islam yang memadam api-api
jahiliyyah dan ianya terus bersinar menyinari seluruh alam hingga ke
hari ini. Risalah yang dibawa oleh insan mulia ini merupakan risalah
terakhir yang hanyasanya diakui dan dijamin oleh Allah swt akan
kebenarannya. Maka beruntunglah sesiapa yang diberikan peluang untuk
berada di bawah naungan cahayanya. Firman Allah swt yang
bermaksud: "Sesungguhnya hanyasanya agama yang benar di sisi Allah
adalah Islam" (Ali Imran: 19).
Di dalam ayat yang lain, Allah swt berfirman yang bermaksud: "Pada
hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agamamu, dan telah aku
lengkapkan ke atas kamu nikmat-Ku, dan telah Aku redha Islam sebagai
agamamu" (al-Maidah:3)
Tidak dapat dinafikan bahawa nikmat Islam yang dikecapi sekarang ini
adalah hasil perjuangan gigih yang penuh cabaran dan ujian yang
telah dilakukan oleh Rasulullah saw dan para golongan yang
terdahulu. Jasa besar oleh insan mulia ini tidak sepatutnya
dilupakan begitu sahaja. Apatah lagi oleh mereka yang mengaku
sebagai umat Muhammad saw. Maka pelbagai cara dilakukan dan
diamalkan dalam usaha untuk menterjemahkan rasa cinta dan kasih
kepada Rasulullah saw, terutamanya bersempena dengan bulan kelahiran
Baginda ini. Tanggal 12 Rabi' al-awal, pelbagai sambutan dan
perayaan diadakan demi mengingati kembali tarikh kelahiran Nabi
Muhammad saw. Di sesetengah tempat, pada tanggal ini diadakan majlis
secara besar-besaran, walau pun terdapat percanggahan pendapat di
kalangan ulamak tentang tarikh yang tepat kelahiran Rasulullah saw.
Yang mashur dan tersebar dikalangan umat Islam ialah pada 12 Rabi'
al-awal. Pendapat lain menyatakan bahawa tarikh yang tepat bagi
kelahiran Rasulullah saw ialah pada 9 Rabi' al-awal tahun gajah,
hari Isnin dan bersamaan dengan 20 atau 22 April 571 Masihi. (Lihat:
al-Mubarakfuri, Safiy al-Rahman, al-Rahiq al-Makhtum (al-Mansurah:
Dar al-wafa', cet. 2, 2000), hal. 71).
Namun begitu, perbezaan tarikh ini bukanlah menjadi persoalan utama.
Apa yang penting ialah masing-masing telah berusaha untuk
menunjukkan rasa cinta dan kasih kepada Rasulullah saw dan ianya
diterjemahkan dengan cara mengadakan sambutan ini. Masing-masing
melakukannya tidak dengan tujuan lain kecuali untuk tujuan kebaikan
dan mendapat balasan daripada Allah swt.
Sesungguhnya tidak diragukan lagi bahawa perasaan kasih dan sayang
kepada junjungan mulia Muhammad saw wujud di dalam sanubari setiap
individu Muslim yang sempurna imannya. Namun, adakah ianya sama
dengan perasaan kasih dan sayang seperti yang telah ditunjukkan oleh
para sahabat Baginda. Tidak syak lagi, para sahabat r.a adalah
golongan yang paling mencintai dan menyayangi Baginda saw. Kecintaan
dan kasih sayang mereka kepada Rasulullah saw telah dibuktikan.
Mereka sangggup berkorban apa sahaja demi mentaati Rasulullah saw.
Senang dan duka dikongsi bersama. Dugaan dan rintangan diharungi
semua. Harta dan nyawa menjadi infaq utama. Golongan inilah yang
telah diberi pengiktirafan oleh Rasulullah saw sebagai golongan yang
terbaik. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:
"Sebaik-baik manusia adalah yang berada di kurunku (para sahabat),
kemudian yang menyusuli mereka (para tabiin), kemudian yang
menyusuli mereka (tabi' al-tabiin)"
(Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Syahadat, hadis no. 2652)
Golongan yang paling mengasihi dan menyayangi Rasulullah saw ini
juga telah menunjukkan contoh teladan bagaimana mereka
menterjemahkan kasih sayang mereka itu, samada ketika hayat
Rasulullah saw mahu pun setelah Baginda saw wafat. Justeru, adalah
menjadi tugas kita untuk menyemak kembali adakah amalan yang kita
lakukan sekarang ini dengan tujuan menzahirkan kecintaan kepada
Rasulullah saw sama seperti yang telah ditunjukkan oleh para sahabat
Baginda saw. Sekiranya ia bertepatan, maka teruskanlah dan
sebarkanlah. Tetapi jika ia adalah sebaliknya, maka adalah lebih
baik dan utama untuk diberhentikan. Jadikanlah para sahabat Baginda
saw ini sebagai golongan teladan. Ianya akan pasti membawa kita ke
jalan kebenaran.
Para ulamak juga telah banyak membicarakan tentang perayaan maulid
al-rasul ini. Antaranya ialah Syiekh al-Islam Ibn Taimiyyah di
dalam "Iqtidha' al-Sirat al-Mustaqim", al-Imam al-Syatibi di
dalam "al-I'tisam", Ibn al-Haj di dalam "al-Madkhal", al-Syiekh
Muhamad Basyir al-Hindi di dalam "Siyanat al-Insan". Selain itu
terdapat juga para ulamak yang menulis kitab yang khas dalam
membincangkan persoalan ini seperti al-Sayyid Rashid Redha, al-
Syiekh Muhamad Ibrahim Ali al-Syiekh, al-Syiekh Abd al-Aziz Ibn Baaz
dan ramai lagi. Maka bagi yang inginkan maklumat lanjut dan
berkemampuan, bolehlah merujuk kitab-kitab mereka dan lihatlah
apakah pandangan dan hukum Islam berkenaan dengan perayaan maulid al-
rasul ini.
Cinta dan ikuti Nabi saw (al-mahabbah wa al-ittiba')
Dua perkara asas yang mesti diberi perhatian di dalam membicarakan
hubungan Muslim terhadap Rasulullah saw adalah al-mahabbah (cinta)
dan al-ittiba' (ikut). Kedua-dua elemen ini mesti wujud secara
beriringan di dalam diri Muslim. Tidak cukup untuk seseorang
menyatakan perasaan cintanya terhadap Rasulullah saw tanpa mengikuti
sunnah Baginda saw. Begitu juga sebaliknya jika seseorang itu
mengikuti ajaran Nabi saw tanpa ada perasaan kasih dan sayang kepada
Baginda. Sejarah Islam telah membuktikan kewujudan dua golongan ini.
Pertama, Abu Talib yang merupakan bapa saudara Rasulullah saw adalah
antara mereka yang paling mencintai Muhammad saw. Abu Talib pernah
memelihara Nabi saw setelah kematian ibu bapa Baginda saw. Dialah
juga antara peribadi penting yang telah mempertahankan Baginda saw
daripada ancaman kafir Quraish semasa menyebarkan dakwah Islam.
Namun, sayang sekali, walau begitu tinggi kasih sayang Abu Talib
kepada anak saudaranya, namun ianya tidak diiringi dengan mengikuti
ajaran yang dibawa olehnya. Maka natijahnya, Abu Talib tetap
termasuk di dalam golongan mereka yang tidak beriman. Kedua:
Abdullah bin Ubai bin Salul yang merupakan ketua golongan munafiq.
Secara zahir, dia adalah pengikut Nabi saw. Namun, ikutannya ini
tidak disertai dengan perasaan kasih dan sayang kepada Baginda saw.
Sebaliknya mempunyai muslihat jahat dalam menghancurkan dakwah Nabi
saw. Tindakan munafiq ini adalah natijah daripada tiadanya perasaan
kasih sayang di dalam diri terhadap Rasulullah saw.
Justeru, al-mahabbah dan al-ittiba' ini mesti digandingkan dan wujud
selari demi memastikan kesempurnaan iman kita terhadap Rasulullah
saw.
Al-Mahabbah
Al-Qadhi I'yadh telah mentakrifkan al-mahabbah ini sebagai
kecenderungan insan terhadap apa yang disukainya seperti menyukai
gambar yang cantik, suara yang merdu, makanan yang sedap dan
sebagainya yang manusia secara fitrah akan sukakannya. Atau ia juga
berlaku dengan menyukai orang-orang yang soleh dan para ulamak dan
mereka yang membuat baik, yang mana hati manusia berkeinginan untuk
mencontohi mereka. Atau ia boleh berlaku dalam bentuk seseorang itu
menyukai orang yang telah melakukan kebaikan terhadapnya.
Maka paksi kepada perasaan al-mahabbah ini adalah hati. Maka apa-apa
yang bertepatan dengan kehendak hati, maka manusia akan cenderung ke
arah itu dan menyukainya. Setiap perkara yang tidak bertepatan
dengan kehendak hati, manusia akan menjauhkan diri daripadanya dan
membencinya.
Al-Imam al-Nawawi di dalam merumuskan pendapat al-Qadhi I'yadh
tentang al-Mahabbah ini menyatakan bahawa: ((Maka asal al-mahabbah
ini adalah kecenderungan insan kepada apa yang bertepatan dengan
kehendaknya, dan ianya berlaku terhadap perkara yang disukai dan
dianggap baik oleh manusia seperti gambar cantik, suara merdu,
makanan sedap dan sebagainya, dan ianya juga berlaku melalui aqal
bagi perkara yang bukan secara zahir seperti mencintai orang soleh
dan para ulamak dan mereka yang mempunyai kelebihan, dan ia juga
berlaku disebabkan kebaikan yang telah dilakukan kepadanya, menolak
kemudharatan dan perkara yang dibenci daripadanya. Semua unsur-unsur
ini wujud pada diri Rasulullah saw, bila mana pada diri Baginda saw
itu terhimpun kecantikan zahir dan batin, dan kesempurnaan segala
kebaikan dan kelebihan, serta kebaikan yang dilakukannya kepada
seluruh umat Islam dengan memberikan petunjuk hidayah ke jalan yang
benar, nikmat yang berterusan dan menjauhkan mereka daripada al-
Jahim (neraka)).
(Rujuk: Abd al-Rauf Muhamad Uthman, Mahabat al-rasul baina al-
Ittiba' wa al-ibtida' (al-Riyadh: Ria'sah Idarah al-Buhuth al-
Ilmiah, Cet. 2, 1414 h), hal. 32)
Maka kecintaan kepada Rasulullah saw ini adalah kecenderungan hati
mukmin kepada Rasulullah saw dengan menampakkan kecintaan kepada
Baginda melebihi kecintaan kepada manusia lain. Ia merupakan perkara
asas dalam menentukan kesempurnaan iman. Terdapat banyak dalil
daripada al-Quran dan al-Sunnah yang membicarakan tentang persoalan
cinta kepada Rasulullah saw. Antaranya ialah:
Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): "JIka bapa-bapa kamu, dan
anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri kamu,
dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan
perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat
tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara
yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada)
berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan
keputusan-Nya (azab seksa); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk
kepada orang-orang yang fasiq" . (Al-Taubah: 24)
Di dalam ayat yang lain, Allah swt berfirman yang bermaksud: "Nabi
itu lebih menolong dan lebih menjaga kebaikan orang-orang yang
beriman daripada diri mereka sendiri". (al-Ahzab:6)
Melalui ayat ini dijelaskan tentang kedudukan Rasulullah saw di
antara golongan mukmin. Ia juga menjelaskan tentang kewajipan yang
sepatutnya dilakukan oleh orang beriman terhadap Rasulullah dengan
meletakkan kecintaan kepada Baginda sebagai kecintaan utama yang
melebihi kecintaan kepada diri mereka sendiri. Kata al-Imam Ibn al-
Qayyim bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa sesiapa yang tidak
menjadikan Rasul sebagai yang lebih diutamakan melebihi dirinya
sendiri, maka bukan dari golongan orang yang beriman (tidak sempurna
imannya).
Selain itu, terdapat banyak hadith-hadith yang menguatkan lagi
perkara ini. Antaranya ialah:
Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda
bermaksud: "Demi yang diriku ditangan-Nya, tidak beriman (sempurna
iman) dikalangan kamu sehingga Aku lebih dicintainya melebihi ayah
dan anaknya" (Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab: Hub al-Rasul
min al-Iman, no. 14)
Dalam hadith lain yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik, bahawa
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Tidak beriman dikalangan
kamu sehinggalah aku lebih dicintainya melebihi ayahnya, anaknya dan
manusia sekeliannya" (Riwayat al-Bukhari, Kitab al-Iman, Bab: Hub al-
Rasul min al-Iman & Muslim, Kitab al-Iman, Bab: Wujub Mahabat al-
Rasul)
Dua hadith ini jelas menunjukkan kewajipan mencintai Rasulullah saw
dan seseorang itu tidak akan sempurna imannya kecuali dengan
mencintai Baginda melebihi cinta kepada orang lain. Ia juga
menggambarkan bagaimana hubungan yang erat diantara iman dan al-
mahabbah kepada Rasulullah saw. Inilah hakikat keimanan yang
sebenar. Dijelaskan pula di dalam hadith lain yang bermaksud:
Daripada Anas bahawa Nabi saw bersabda: "Tiga perkara yang sesiapa
memilikinya akan mendapat kemanisan iman: menjadikan Allah dan rasul-
Nya lebih dicintainya melebihi yang lain…" (Riwayat al-Bukhari,
Kitab al-Iman, Bab: Halawat al-Iman & Muslim, KItab al-Iman, Bab:
Bayan Khisal man ittasafa bihinna wajada halawat al-iman).
Bagaimana menambahkan cinta kepada Rasulullah saw
Perasaan cinta dan kasih kepada Rasulullah saw boleh disemai dengan
melakukan beberapa perkara dibawah:
1) Mengenali dan mengingati peribadi Rasulullah saw
Dari sudut ini, maka benarlah pepatah Melayu yang menyebut
bahawa "Tak kenal maka tak cinta". Seseorang Muslim yang ingin
menambahkan kecintaannya kepada Rasulullah
saw mestilah mengenali peribadi Baginda secara lebih mendalam.
Semakin dalam kita mengenali Rasulullah saw dari segi akhlaknya,
cara hidupnya, cabaran yang dihadapinya, perjuangannya dan segala-
galanya yang berkaitan dengan Baginda, maka semakin bertambahlah
cinta dan kasih kita kepada Rasulullah saw. Untuk tujuan ini, bacaan
dan kajian terhadap sirah hidup Baginda perlu dilakukan melalui
sumber-sumber bacaan sirah yang sahih.
2) Berdiri di atas petunjuk Nabi saw dan mengamalkan sunnah-sunnah
Baginda.
Setiap Muslim mestilah menjadikan petunjuk yang dibawa oleh Nabi saw
sebagai panduan dalam hidupnya. Dalam setiap apa jua perkara dalam
urusan agama, maka panduan dan petunjuk yang dibawa oleh Nabi saw
mestilah diletakkan di hadapan. Seterusnya, senantiasa berusaha
untuk mengikuti sunnah Baginda saw dalam segala tingkah laku dan
perkataan. Jika tidak dapat diamalkan semua, maka janganlah
ditinggalkan semuanya.
3) Mengetahui nikmat Allah yang dikurniakan kepada kita melalui
pengutusan Rasulullah saw.
Antara pengurnian nikmat Allah yang terbesar ialah pengutusan
Rasulullah saw itu sendiri kepada umat ini. Rasulullah saw yang
diutuskan ini diberikan panduan wahyu kepadanya. Maka dengan
pengutusan Rasul yang dibekalkan dengan wahyu, umat Islam dapat
menerima hidayah Islam yang sebenar, seterusnya dengan hidayah ini
kita dapat mebezakan antara yang haq dan batil dan sekaligus dapat
menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat; jika petunjuk ini
ditaati.
Firman Allah swt bermaksud: "Wahai ahli Kitab! Sesungguhnya telah
datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad saw) dengan menerangkan
kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum) yang telah
kamu sembunyikan dari kitab suci, dan ia memaafkan kamu (dengan
tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan).
Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi
Muhammad) dari Allah, dan sebuah kitab (al-Quran) yang jelas nyata
keterangannya. Dengan (al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan
keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut
keredhaanNya, dan (dengannya) Tuhan keluarkan mereka dari gelap
gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang benderang, dengan
izinNya; dan (dengannya juga) Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang
lurus". (al-Maidah: 15-16)
3) Memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah saw.
Selawat merupakan antara amalan yang paling berkesan yang dapat
mengikat hati individu Muslim dengan Rasulullah saw. Firman Allah
swt bermaksud: "Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat
(memberi segala penghormatan dan kebaikan) ke atas Nabi, wahai orang-
orang yang beriman selawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam
sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya". (al-Ahzab: 56)
Penganjuran berselawat ini juga disuruh dan digalakkan melalui
hadith-hadith Rasulullah saw, antaranya: Daripada Abu Hurairah,
bahawa Nabi saw bersabda: "Barangsiapa yang berselawat ke atas ku
satu selawat, maka Allah swt akan berselawat ke atasnya sepuluh
kali" (Riwayat Muslim, Kitab al-solat, Bab: al-salat `ala al-Nabiy
ba'da al-tasyahud)
Tanda Cinta dan Kasih kepada Rasulullah saw.
Walaupun cinta dan kasih ini merupakan satu perasaan yang wujud di
dalam hati, tetapi ianya mesti digambarkan dengan tingkah laku dan
kata-kata. Menzahirkan perasaan kasih dan cinta terhadap Rasulullah
saw ini adalah penting untuk membezakan antara mereka yang benar-
benar cinta dan mereka yang hanya mendakwa bahawa mereka cintakan
Nabi saw tetapi tidak dibuktikan dengan amalan zahir.
Maka antara tanda-tanda bahawa seseorang itu benar-benar mencintai
Nabi saw adalah:
1) Taat dan ikuti Rasulullah saw.
Sesungguhnya tanda yang paling nyata dalam membuktikan kebenaran
kasih dan cinta seseorang kepada Rasulullah saw adalah taat dan
ikuti sunnah Baginda saw. Jika perkara ini tidak wujud, maka
tiadalah mereka yang mendakwa cinta dan kasih kepada Rasulullah saw
ini kecuali pendusta. Justeru, taat dan ikuti Rasulullah saw menjadi
syarat utama dalam membenarkan dakwaan ini.
Allah swt juga telah menetapkan bahawa taat dan ikuti Rasulullah saw
ini merupakan tanda taat dan patuh kepada-Nya, maka ia adalah lebih
utama untuk membuktikan kecintaan kepada Baginda saw sendiri. Firman
Allah swt bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad) Sekiranya kamu
mencintai Allah, maka ikutlah aku, nescaya kamu akan dikasihi Allah
dan Dia akan mengampunkan dosa-dosa kamu" (Ali Imran: 31)
Al-Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa:
((Ayat ini merupakan kayu ukur kepada sesiapa yang mendakwa
mencintai Allah swt tetapi tidak berada di atas jalan Muhammad,
bahawa sesungguhnya dia adalah dusta di dalam dakwaannya,
sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad di dalam keseluruhan
percakapan dan amalannya)) (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim
(Damsyiq: Dar al-Fiha', Cet. 2, 1998 ), 1/477)
2) Memuliakan Rasulullah saw dan beradab dengannya.
Memuliakan Rasulullah saw bersesuaian dengan kedudukan kenabian dan
kerasulan Baginda. Memuliakan Nabi saw ini berlaku dalam tiga
bentuk; melalui hati, lisan dan anggota. Maka memuliakannya dengan
hati ialah dengan beri'tiqad bahawa Baginda adalah rasul yang telah
dipilih oleh Allah swt dan telah dimuliakan Allah berbanding dengan
manusia-manusia lain. Memuliakan Baginda dengan lisan pula
mengandungi puji-pujian kepadanya samada pujian yang diberikan oleh
Baginda saw sendiri atau segala bentuk pujian yang diberikan Allah
swt kepada baginda tanpa ada sebarang pengurangan atau penambahan
yang melampau. Termasuk dalam perkara ini adalah selawat dan salam
ke atas Baginda saw. Memuliakan Baginda melalui anggota pula ialah
dengan taat kepada perintahnya dan mengikuti sunnahnya. Maka apa
yang disukai dan dianjurkan oleh Rasulullah saw, kita turut
menyukainya. Apa-apa yang dibenci dan tidak dianjurkan oleh Baginda,
maka kita turut membencinya dan meninggalkannya.
Kesimpulannya, memuliakan Rasulullah saw ini adalah dengan
membenarkan apa yang disampaikan, mentaati apa yang diarah, menjauhi
apa yang ditegah dan beribadah kepada Allah dengan apa yang
disyariatkan.
Memuliakan Rasulullah saw dan beradab dengan Baginda juga merupakan
arahan yang terkandung di dalam al-Quran. Antara adab-adab dengan
Rasulullah saw yang mesti dipatuhi oleh setiap individu Muslim ialah
seperti mana yang terkandung di dalam surah al-Hujurat. Boleh
dikatakan bahawa antara isi kandungan utama surah al-Hujurat ini
menyebut tentang bagaimana adab seseorang Muslim dengan Rasulullah
saw.
Antara adab yang terkandung di dalam surah ini adalah seperti maksud
ayat pertama: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu
mendahului Allah dan Rasul-Nya, dan bertaqwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". (al-
Hujurat: 1)
Adab yang dianjurkan di dalam ayat ini ialah tidak mendahului Allah
dan Rasulullah saw di dalam perkataan mahupun perbuatan, samada
semasa hayat Baginda mahupun sesudah Baginda wafat iaitu dengan
tidak melanggari sunnahnya.
3) Senantiasa ingat kepada Baginda saw dan mempunyai pengharapan dan
rindu yang mendalam untuk melihat dan berjumpa dengannya.
Sudah menjadi lumrah, seseorang itu akan sentiasa ingat kepada
sesiapa yang dikasihinya. Perkara ini tidak akan wujud kecuali jika
hati dan fikiran seseorang itu sentiasa didorong ke arah itu.
4) Mengasihi ahli keluarga, isteri-isteri dan para sahabat
Rasulullah saw.
Diantara tanda kasih dan sayangnya kita kepada Rasulullah saw ialah
mencintai dan mengasihi kaum keluarganya, isteri-isteri Baginda dan
para sahabat r.a. Mencintai dan mengasihi mereka ini diiringi dengan
mengetahui kelebihan dan kemuliaan yang telah dikurniakan kepada
mereka. Seterusnya membersihkan segala tohmahan dan fitnah yang
dilemparkan kepada mereka.
5) Mencintai sunnah Rasulullah saw dan mereka yang menyeru ke arah
menegakkan sunnah tersebut.
Termasuk di dalam tanda-tanda mencintai Rasulullah saw ialah
mencintai sunnah Baginda saw dan mereka yang berusaha menyeru
manusia ke arah mengamalkan sunnah. Maka golongan yang paling awal
menjalankan tugas ini ialah para al-salaf al-soleh. Mereka telah
berjuang dan mencurahkan segala tenaga demi mempertahankan sunnah
Rasulullah saw. Seterusnya mengasihi para ulamak yang telah
menyambung perjuangan menegakkan sunnah ini di atas manhaj yang
telah ditunjukkan oleh al-salaf al-soleh.
Demikianlah diantara tanda-tanda yang sepatutnya dapat dilihat
daripada mereka yang mengaku kasih dan cinta kepada Rasulullah saw.
Semestinya perasaan cinta dan kasih kepada Baginda saw ini tidak
akan dipersiakan malahan akan diberikan ganjaran yang menjadi impian
setiap Muslim. Antara kelebihannya ialah seperti mana yang terdapat
di dalam sebuah hadith:
Daripada Anas bin Malik ra berkata: Seorang lelaki bertanya kepada
Nabi saw: Bilakah akan berlakunya Qiamat, wahai Rasulullah? Nabi saw
bertanya kembali: ((Apakah persediaan yang telah kamu lakukan untuk
itu?)). Lelaki itu menjawab: Aku tidak mempunyai banyak persediaan
dari cintakan Allah dan Rasul-Nya. Nabi saw bersabda: ((Engkau
bersama dengan yang engkau cintai)) (Riwayat al-Bukhari, kitab al-
Adab, bab `Alamat Hubbullah Azza wa jalla)
Di dalam riwayat yang lain, Nabi saw bertanya: ((Apakah persediaan
yang telah kamu lakukan untuk hari qiamat?)). Lelaki tersebut
berkata: Tiada apa-apa persediaan kecuali aku cintakan Allah dan
Rasul-Nya. Maka Nabi saw bersabda: ((Engkau bersama dengan yang
engkau cintai)). Anas berkata: Tidaklah kami pernah gembira seperti
gembiranya kami dengan kata-kata Nabi saw ((Engkau bersama dengan
yang engkau cintai)). Anas berkata lagi: Maka aku cintakan Nabi saw,
Abu Bakr dan Umar, dan aku berharap akan bersama dengan mereka
disebabkab cintaku kepada mereka, walaupun aku tidak mempunyai
amalan seperti amalan mereka. (Riwayat al-Bukhari, kitab Fadhail al-
Sahabat, Bab Manaqib Umar al-Khattab)
Al-Ittiba'
Secara ringkasnya, al-ittiba' yang dimaksudkan disini ialah
mengikuti dan mencontohi Rasulullah saw dari segenap aspek. Abu al-
Hussain al-Basri di dalam "al-Mu'tamad" telah menghuraikan tentang
perkara ini dengan menyatakan: ((Adapun mencontohi Nabi saw berlaku
samaada dalam bentuk melakukan atau meninggalkan.. Mencontohi Nabi
saw dengan turut melakukannya ialah dengan kita melakukan sesuatu
perkara itu sama seperti mana yang dilakukan oleh Nabi saw. Manakala
mencontohi Baginda saw dengan meninggalkannya ialah kita
meninggalkan apa-apa perkara seperti mana yang ditinggalkan oleh
Nabi saw. Dan sesungguhnya kami mensyaratkan perbuatan itu berlaku
dalam bentuk yang sama, kerana jika sekiranya Nabi saw berpuasa dan
kita bersolat, maka ia tidak dinamakan mencontohi Baginda saw….Dan
kami mengatakan bahawa mencontohi Baginda juga berlaku dalam bentuk
meninggalkan sesuatu perkara, kerana jika sekiranya Baginda saw
meninggalkan (tidak menunaikan) sembahyang ketika terbitnya
matahari, maka kita juga turut meninggalkannya di atas dasar
mencontohi Baginda saw.
….Adapun mengikuti Nabi saw berlaku dari segi perkataan, dan dalam
bentuk perlakuan dan dalam bentuk peninggalan. Maka mengikuti
perkataan Baginda saw ialah kita berusaha untuk melaksanakan
kandungan perkataan tersebut sama ada dalam bentuk wajib, sunat atau
sebagainya. Dan adapun mengikuti Baginda saw dalam bentuk turut
melakukannya atau meninggalkannya ialah dengan kita melakukan
sesuatu perkara atau meninggalkan sesuatu perkara sama seperti yang
dilakukan oleh Baginda saw…dan sesungguhnya kami mensyaratkan di
dalam mengikut ini sama dengan mencontohi, kerana jika sekiranya
Baginda saw berpuasa dan kita bersembahyang, atau Baginda saw
berpuasa fardhu tetapi kita berpuasa sunat, atau kita berpuasa bukan
disebabkan Baginda berpuasa, maka kita tidak dinamakan sebagai orang
yang mengikuti Nabi saw di dalam perkara ini))
(Rujuk: Abd al-Rauf Muhamad Uthman, Mahabat al-rasul baina al-
Ittiba' wa al-ibtida' , hal. 103)
Maka daripada huraian di atas dapat dibuat kesimpulan ringkas bahawa
yang dikatakan al-ittiba' dengan Rasulullah saw dalam bentuk
perbuatan ialah kita melaksanakan apa-apa yang dilakukan oleh
Baginda saw dalam bentuk yang sama. Manakala al-ittiba' dengan kata-
kata Rasulullah saw ialah kita melaksanakan tuntutan yang terkandung
di dalam perkataan Baginda saw tersebut. Segala amalan yang
dilakukan ini mestilah berpaksikan di atas niat mahu mengikuti dan
mencontohi Rasulullah saw.
Kewajipan mengikuti dan mentaati Rasulullah saw ini sebenarnya
adalah perintah daripada Allah swt sendiri. Maka di antara tanda
seseorang itu mentaati Allah swt ialah dia mentaati dan mencontohi
pesuruh Allah, Muhammad saw. Di antara firman Allah swt yang
mengandungi arahan ini ialah seperti maksud ayat berikut:
"Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul, dan
janganlah kamu batalkan amalan kamu" (Muhammad: 33)
"Taatilah Allah dan Rasul, mudah-mudahan kamu akan dirahmati" (Ali
Imran: 132)
Tanda al-ittiba'.
Sesungguhnya perkara mencontohi dan mengikuti Rasulullah saw ini
bukanlah suatu yang hanya menjadi sebutan di mulut sahaja. Tetapi
seseorang yang mendakwa mencontohi dan mengikuti Nabi saw dengan
sebenar-benar ikutan, pasti akan lahir daripadanya tanda-tanda dan
kesan yang membuktikan dakwaan tersebut.
Maka antara tanda-tanda al-ittiba' ini ialah:
1. Menjadikan Rasulullah saw sebagai contoh ikutan.
Seseorang yang mendakwa mencontohi dan mengikuti Nabi saw mestilah
menjadikan Baginda saw sebagai panduan dan contoh ikutannya. Maka
dia melakukan arahan dan amalan yang dilakukan oleh Rasulullah saw
sama seperti dia meninggalkan segala larangan dan perkara yang
ditinggalkan oleh Baginda saw. Termasuk juga di dalam perkara ini
ialah seseorang itu mestilah berakhlak dan beradab dengan akhlak
yang dianjurkan oleh Baginda saw.
Allah swt berfirman yang bermaksud:
"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah saw itu
contoh ikutan yang baik, iaitu bagi sesiapa yang sentiasa
mengharapkan (keredahaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat
serta mengingati Allah dengan sebanyak-banyaknya (dalam masa susah
dan senang)" . (al-Ahzab: 21)
Al-Hafiz Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini menyatakan: ((Ayat
ini merupakan asas yang utama di dalam mencontohi Nabi saw dari segi
perkataannya, perbuatanya dan segala perkara yang berkaitan dengan
Baginda. Dan untuk itu, Allah swt telah memerintahkan manusia di
hari peperangan Ahzab supaya mencontohi Nabi saw dari segi
kesabarannya, mujahadahnya, dan penantiannya kepada kelapangan
(kemenangan) daripada Allah swt. Selawat dan salam ke atasnya yang
berterusan hingga ke hari Akhirat. Dan disebabkan itu, Allah berkata
kepada mereka-mereka yang gentar dan tidak tetap pendirian mereka
pada hari peperangan Ahzab: ((Sesungguhnya adalah bagi kamu pada
diri Rasulullah saw itu contoh ikutan yang baik)) iaitu hendaklah
kamu mencontohi Baginda saw dengan sepenuhnya))
(Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-`Azim, 3/626)
Justeru, bagi mereka yang ingin membuktikan kecintaan dan ikutan
mereka kepada Rasulullah saw haruslah terlebih dahulu mengetahui dan
mempelajari tentang petunjuk dan sunnah Rasulullah saw. Hal ini
penting bagi mengelakkan kita terjerumus di dalam penyakit al-ghulu
(melampaui batas) dan al-bid'ah di dalam mengagung-agungkan
Rasulullah saw. Tanpa ilmu pengetahuan yang sahih, ramai manusia
telah dijangkiti penyakit ini. Oleh itu kembalilah kita kepada
petunjuk al-Quran dan al-Sunnah.
2.Menjadikan sunnah Rasulullah saw sebagai pemutus segala hukum.
Perkara ini merupakan di antara ciri-ciri penting bagi membuktikan
keimanan seorang Muslim. Sunnah Baginda saw semestinya dijadikan
sumber bagi penentuan segala hukum bagi segala masalah yang berlaku
di kalangan manusia. Maka setiap pendapat atau keputusan yang
bercanggah dengan penentuan sunnah Baginda saw, hendaklah ditolak,
walau dari mana dan daripada sesiapa sekali pun munculnya pendapat
itu.
Allah swt menegaskan di dalam firmannya yang bermaksud: "Wahai orang-
orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu
kepada Rasul dan uli al-amri (orang yang berkuasa) di kalangan kamu,
maka sekira kamu berselisihan pendapat di dalam sesuatu perkara,
maka kembalikanlah (rujuklah) ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-
Nya (sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari
Akhirat , maka yang demikian itu lebih baik bagi kamu dan lebih elok
pula kesudahannya" (al-Nisaa': 59)
Sesiapa yang mengambil petunjuk daripada ayat ini iaitu dengan
menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai tempat rujukan bagi segala
permasalahan, maka ia akan sentiasa berada di atas jalan yang
mustaqim, sekaligus membuktikan bahawa dia melalui landasan al-
ittiba' yang sebenar.
Di dalam ayat yang lain, Allah swt menyatakan yang bermaksud: "Maka
demi Tuhanmu (wahai Muhammad), tidaklah beriman mereka itu
sehinggalah mereka menjadikan dirimu (wahai Muhammad) sebagai hakim
di dalam (memutuskan) segala perselisihan yang berlegar di antara
mereka, kemudian tidak pula timbul sebarang perasaan berat hati di
dalam diri mereka terhadap apa yang telah kamu putuskan, dan mereka
menerima keputusan itu dengan sepenuhnya" (al-Nisaa': 65)
Dalam perkara ini, maka para sahabatlah r.a yang merupakan contoh
kita yang terbaik. Mereka telah menjadikan Rasulullah saw sebagai
pemutus segala perkara yang berlaku di kalangan mereka. Hal ini
berlaku sewaktu hayat Baginda saw. Selepas kewafatan Nabi saw,
mereka menjadikan sunnah yang ditinggalkannya sebagai pengganti dan
dijadikan sumber rujukan.
3. Redha dengan hukum dan syariat yang disampaikan oleh Rasulullah
saw.
Di antara tanda seseorang taat kepada Rasul, dia mestilah redha
dengan hukum dan syariat yang dibawa oleh Baginda saw. Ini juga
sebenarnya merupakan tanda kepada ketaatan kepada Allah swt. Maka
apabila seseorang itu redha dengan syariat dan peraturan yang dibawa
oleh Rasulullah saw, dia akan menerimanya dengan hati yang terbuka
tanpa ada sebarang syak dan ragu terhadap perkara tersebut. Jika
wujud keraguan walau pun sedikit, ini bermakna dakwaan cinta dan
ikutannya terhadap Nabi saw belum lagi sempurna.
Perkataan redha ini terkandung di dalamnya terima, tunduk, patuh dan
melaksanakannya tanpa berpaling kepada petunjuk atau peraturan yang
lain. Jika ia masih lagi cenderung kepada petunjuk yang lain maka ia
bercanggah dengan maksud redha dan ianya membuka jalan kepada nifaq
dan kufur.
4. Tidak melanggar sempadan syariat.
Ini merupakan natijah daripada redha. Sesiapa yang telah redha
dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw, maka segala gerak
geri amalannya akan berpandukan kepada garis panduan yang telah
ditetapkan oleh syariat. Ini semua akan berlaku apabila wujudnya
perasaan yakin bahawa syariat yang disampaikan oleh Nabi saw ini
telah lengkap dan tidak lagi berhajat kepada sebarang penambahan
mahu pun pengurangan. Rasulullah saw dengan sifat amanahnya pula
telah menyampaikan ajaran syariat ini keseluruhanya tanpa disembunyi
sedikit pun daripadanya.
Maka contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw
itulah yang paling sempurna. Usahlah dicacatkan agama ini dengan
sebarang pengurangan mahupun penambahan daripada manusia.
Bergeraklah di dalam daerah yang telah ditetapkan oleh syariat dan
jangan cuba untuk melanggari sempadannya.
Renungilah maksud daripada firman Allah ini:
"Itulah aturan-aturan hukum Allah, maka janganlah kamu
melanggarinya, dan sesiapa yang melanggar aturan hukum Allah, maka
mereka itulah orang-orang yang zalim" (al-Baqarah: 229)
Demikianlah beberapa panduan al-Quran dan al-hadith di dalam
membicarakan tentang hubungan dan tanggungjawab kita terhadap
Rasulullah saw. Setiap individu Muslim haruslah mengkoreksi dirinya
sejauh mana perasaan cinta dan kasih kepada Rasulullah saw.
Janganlah perasaan cinta kepada kebesaran dunia, kaum keluarga,
harta benda, pangkat dan kedudukan mengatasi perasaan cinta kepada
Allah dan Rasul-Nya. Seterusnya, cinta ini perlulah diiringi dengan
menuruti jejak langkah Baginda dan mengamalkan sunnah-sunnah yang
telah ditinggalkan kepada kita. Semoga dengan perasaan cinta dan
ikutan kita kepada Rasulullah saw ini menjadi bukti untuk kita
bersama-sama dengan Baginda di syurga kelak. Amin.
No comments:
Post a Comment