Tuesday, March 14, 2006

Empat Soalan Asasi

Empat Soalan Asasi

Daripada Abi Burdah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Tidak bergerak (berjalan) dua kaki seseorang hamba (manusia) itu pada hari kiamat sehinggalah ia ditanya empat perkara: Mengenai umurnya yang telah dihabiskannya, ilmunya yang telah diamalkannya, hartanya dari mana diperolehinya dan apa yang dibelanjakannya, seterusnya mengenai tubuh badannya apakah yang telah digunakannya ? Riwayat Tarmizi Huraian Hadis


'Tidak bergerak dua kaki seseorang hamba pada hari kiamat' bermaksud bahawa seseorang itu tidak dibenarkan keluar dari kawasan akhirat kecuali setelah ditanya dan disoal beberapa soalan, dan empat perkara asasi yang akan disoal adalah:

Tentang umurnya, iaitu bagaimana ia telah dihabiskan
Tentang ilmunya, iaitu yang mana telah diamalkan
Tentang hartanya, iaitu dari mana diperolehi dan apa yang telah dibelanjakan
Tentang tubuh badannya, iaitu bagaimana ia telah digunakan


*Mengenai 'umur bagaimana dihabiskannya' bermaksud adakah sepanjang hidupnya ia telah melakukan kebajikan atau kemungkaran. Semuanya ini akan disoal dan akan ditayang semula di akhirat, dan di waktu itu mulut akan ditutup tetapi anggota lain akan bercakap, mengakui apa yang telah berlaku. Firman Allah SWT: Pada hari ini kami tutup mulut-mulut mereka, dan kami bolehkan tangan-tangan mereka berkata-kata, dan kaki-kaki mereka menjadi saksi, tentang usaha-usaha yang telah mereka kerjakannya


*Mengenai 'ilmu adakah ia berilmu dan beramal dengannya' bermaksud setiap individu muslim itu diwajibkan menuntut ilmu fardu ain, dan beramal dengan ilmu-ilmunya. Maka diharamkan kita menuntut ilmu-ilmu yang salah, seperti sihir dan seumpamanya, dan menjadi fardu kifayah pula bagi kita menuntut ilmu yang memberi manfaat kepada umat Islam dan masyarakat.


*Mengenai 'harta dari mana diperolehi, bagaimana dibelanjakan' bermaksud sejauh manakah ia mencari harta menurut lunas-lunas yang telah digariskan Islam, kerana semua harta di dunia ini sama sahaja dari segi rupa dan nikmatnya, tetapi berbeza dari segi hukumnya. Kita juga diwahibkan menentukan bagaimana pula ia dibelanjakan, sama ada ke arah kemungkaran, seperti pembaziran, atau ke arah kebajikan, seperti membantu orang yang miskin dan sebagainya; semuanya ini akan ditanya di akhirat kelak.


*Mengenai 'tubuh badan, bagaimana ia menggunakan' bermaksud kita hendaklah memastikan tubuh badan yang sihat itu sama ada dihabiskan kepada perkara yang sia-sia atau sebaliknya, dan umat Islam sememangnya dianjurkan semasa tubuh badan yang masih sihat digunakan untuk kebajikan dan amal ibadah kepada Allah SWT.

Kesimpulan Hadis

Di akhirat kelak setiap seorang daripada kita pasti akan disoal empat perkara asasi ini, dan tidak ada satu cara pun yang dapat kita lakukan untuk menyorokkannya.


Dari amalan kita di dunia inilah kita akan menerima pembalasannya di akhirat kelak, samada syurga atau neraka.

Hadis ini mengingatkan kita supaya hendaklah menggunakan peluang yang baik semasa masih hidup di dunia ini untuk melakukan perkara-perkara kebajikan, iaitu menggunakan umur hidupnya, harta kekayaannya, ilmu pengetahuannya, dan tubuh badan serta kesihatannya, untuk segala macam kebajikan dan amal-amal salih.

Wallahu'alam

No comments: