Saturday, December 08, 2007

Mencari Huraian bagi Isu Nuklear Iran

Tampaknya laporan Taksiran Risikan Nasional (NIE) Amerika Syarikat telah mendapat pelbagai reaksi antarabangsa. Ia mendedahkan bahawa Iran sudah menghentikan rancangan senjata nuklearnya pada 2003. Jelaslah pengakuan Iran bahawa rancangan nuklear bertujuan menjana tenaga eletrik adalah munasabah. Namun, Presiden George W. Bush dan pihak-pihak di Israel masih terus menyangsikannya.

Jika Pentadbiran Rumah Putih menyangsikan laporan NIE, tentu ada yang tidak kena dengan jaringan para perisiknya yang melingkari seluruh dunia, terutama Timur Tengah, Mungkin dapat dihujahkan bahawa ini akibat kesan laporan risikan yang palsu - mendakwa Iraq mempunyai senjata pemusnah besar-besaran - yang menjadi fobia di Amerika. Laporan palsu itu telah mendorong Amerika yang dibantu Britain menggulingkan rejim Saddam. Sehingga kini Iraq masih berdarah dan senjata pemusnah tidak ditemui.

Siasatan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) belum dapat menemukan sebarang bukti Iran mempunyai senjata nuklear. Namun Amerika dan sekutunya tampak tidak mempercayai IAEA dan kini laporan NIE sendiri. Namun, Iran dikenakan sekatan ekonomi. Bahkan tindakan antarabangsa ke atasnya bakal bertambah. Itulah sebabnya China wajar menimbulkan laporan NIE agar masyarakat dunia lebih prihatin mengenai niat sebenar Iran. Walau Amerika adalah adikuasa, tidak wajar dunia terus menerima desakan Pentadbiran Bush.

Kini Iran mempunyai sebab lebih ampuh untuk menuntut layanan adil lagi saksama daripada Majilis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Dakwaan Amerika bahawa Iran dikuasai para mullah tegar dan enggan berdialog perlu diubah. Iran masih boleh diajak meja rundingan. Bahkan Amerika wajar membina semula hubungan diplomatik dengan Iran. Cara ini dapat meminggirkan mana-mana pihak yang memusuhi Amerika di Iran. Bahkan dialog antara peradaban merupakan huraian praktikal dalam mengatasi ketegangan di Timur Tengah.

Tiada negara dapat hidup terasing. Korea Utara akhirnya sanggup melucutkan kelengkapan senjata nuklearnya dalam rangka membangun ekonominya dengan bantuan masyarakat antarabangsa. Iran juga seharusnya begitu. Amerika perlu rendah hati dan menerima hakikat bahawa musuh boleh menjadi sahabat selagi ada tekad politik. Perseteruan Iran-Amerika sejak kejatuhan Shah Iran pada 1979 perlu ditamatkan.

No comments: